Kuala Lumpur – Yayasan Bank Rakyat (YBR) dan Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) memeterai memorandum persefahaman (MoU) penajaan sembila pelajar universiti itu bagi Program (Asasi/Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Persatuan Akuantan Bertauliah Berkanun dan Sijil Tahfiz) berjumlah RM1.13 juta.
YBR dalam satu kenyataan memaklumkan melalui usaha sama itu, sejumlah RM1.03 juta diperuntukkan bagi biasiswa pendidikan untuk pelajar terpilih program tersebut, dan RM100,000 peruntukan Bantuan Awal Pengajian (BAP) sebagai persediaan pelajar untuk memulakan semester baharu.
MoU berkenaan ditandatangani antara Pengurus Besar YBR Syaiful Rizal Abdul Ghani dan Naib Canselor UNITEN, Prof Dr Noor Azuan Abu Osman serta disaksikan Pengerusi YBR Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Pengerusi UNITEN Datuk Seri Hassan Arifin di kampus UNITEN Putrajaya, semalam.
Menurut kenyataan itu, jalinan kerjasama selama tiga tahun ini bermula tahun ini sehingga 2024 itu menyasarkan tiga pelajar menerima penajaan biasiswa setiap tahun berjumlah RM114, 934.
BAP pula melibatkan 100 pelajar yang layak dari semester satu hingga tiga berjumlah Rm1,000 seorang.
“Kerjasama ini bertujuan membuka peluang kepada pelajar cemerlang khususnya yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda selepasa menamatkan program asasi,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Megat Zulkarnain dalam ucapan pada majlis itu berkata usaha sama antara YBR dan UNITEN tersebut diharap menjadi motivasi dan pembakar semangat kepada pelajar cemerlang untuk terus berjaya dalam pendidikan selain sedikit sebanyak menyumbang kepada generasi muda berkaliber.
Menurutnya penajaan berkenaan turut memandang dari aspek pembangunan modal insan negara yang mampan serta menunjukkan komitmen YBR dan UNITEN demi membantu pelajar cemerlang dalam akademik untuk mengorak langkah ke hadapan tanpa masalah kewangan.
Sumber: BERNAMA