Bela Kucing Boleh Elak Alahan? Ini 7 Mitos Pasal Alergi Haiwan Yang Perlu Anda Tahu
Kucing adalah haiwan yang paling comel dan tidak hairan di mana-mana di seluruh dunia terdapat peminat kucing. Mempunyai haiwan peliharaan seperti kucing dapat menjadi peneman kepada kita ketika sunyi.
Kebanyakan pencinta haiwan suka menghabiskan waktu dengan haiwan peliharaan mereka tetapi ada sahaja yang meminati kucing tetapi menghadapi alahan yang teruk dengan haiwan berbulu tersebut.
Tapi betul ke alahan kucing ini boleh dielakkan dengan bela kucing? Portal Hello Doktor ada berkongsikan berkenaan penjelasan perkara tersebut. Untuk mengetahuinya, ikuti perkongsiannya seperti berikut:
Anda tidak boleh dekat dengan haiwan peliharaan kerana mempunyai alahan pada bulu kucing? Sebenarnya, hampir 10% hingga 20% populasi dunia mempunyai alahan terhadap haiwan peliharaan atau alahan kucing.
Walaupun ramai yang alah terhadap haiwan comel ini, namun masih banyak orang yang terus membela kucing atau anjing di rumah sebagai peneman setia.
Menurut kajian yang dijalankan oleh The American Pet Products Association (APPA) dan American Veterinary Medical Association (AVMA), hampir separuh rakyat Amerika Syarikat mempunyai haiwan peliharaan.
Namun, hampir 31 juta rakyat Amerika mempunyai alahan kucing, termasuklah 30% daripadanya yang menghidap asma.
Selalunya, alahan terhadap haiwan peliharaan ini dicetuskan oleh sel kulit mati yang gugur dari badan haiwan.
Sebagai pemilik haiwan peliharaan, anda perlulah faham bagaimana haiwan kesayangan anda ini mencetuskan alahan.
Bukan itu sahaja, ada banyak juga mitos mengenai haiwan peliharaan anda yang menyebabkan salah faham. Nak tahu apakah mitos mengenai alahan bulu kucing? Hello Doktor ada membuat perkongsian mengenai 7 mitos untuk menggelakkan alahan pada bulu kucing.
1. Hanya bulu kucing yang menyebabkan alahan
Menurut pakar bulu kucing atau bulu anjing bukan penyebab utama terjadinya alahan.
Bulu kucing yang kita nampak bersih sebenarnya mungkin melekat dengan pelbagai bahan seperti air liur, urin atau protein yang luruh dari badan kucing sendiri. Malah, alahan kucing selalunya berlaku disebabkan komponen kecil ini.
Tidak dinafikan, haiwan yang mempunyai bulu yang lebat lebih berisiko untuk membawa alergen ini pada bulu mereka. Jadi, jika anda membela kucing atau anjing, pastikan anda membersihkan mereka dengan kerap.
2. Kalau selalu pegang kucing, lama-lama alergi tersebut akan hilang! alahan bulu kucing

Jawapannya: Tidak benar.
Jika anda mempunyai alahan bulu kucing, alahan tersebut tidak akan hilang walaupun anda selalu habiskan masa dengan haiwan kesayangan. Malah, besar kemungkinan, alahan tersebut akan jadi semakin teruk.
Jangan sesekali bela haiwan peliharaan untuk membantu seseorang membiasakan diri dengan alahan. Alahan yang dialami boleh bertukar menjadi serius dan menyebabkan individu tersebut dimasukkan ke hospital.
Tidak dinafikan, ada orang yang mempunyai alahan bulu kucing yang serius ketika kecil dan tidak mengalaminya ketika dewasa. Namun, itu tidak bermaksud pendedahan terhadap haiwan peliharaan merupakan perkara yang ‘menyembuhkan’ mereka.
3. Jika anda alah terhadap kucing, anda akan alah terhadap anjing

Jawapannya: Tidak benar.
Tahukah anda, anjing dan kucing menghasilkan alergen yang berbeza? Oleh sebab itu, ada orang yang akan alami alahan hanya pada kucing atau anjing, dan bukan kedua-duanya.
4. Haiwan kecil tidak akan menyebabkan alahan alergi
Jawapannya: Salah.
Haiwan kecil seperti tikus belanda, hamster, burung dan haiwan lain juga boleh mencetuskan asma dan alahan.
Malah, kajian yang dimuatkan dalam jurnal Clinical and Molecular Allergy mendapati, mereka yang alah terhadap bulu haiwan peliharaan seperti anjing atau kucing akan mengalami reaksi yang sama jika tersentuh haiwan kecil seperti hamster dan tikus belanda.
Bukan itu sahaja, ramai juga yang alah terhadap burung! Burung boleh melepaskan alergen ke udara ketika mereka terbang atau mengepakkan sayap.
Jika anda mempunyai alahan dan masih ingin membela haiwan, cuba pilih haiwan tanpa kulit atau bulu seperti ikan atau kura-kura.
5. Pembersih udara dapat membantu
Jawapannya: Bergantung kepada jenis air purifier.
Hanya pembersih udara yang berkualiti dan selalu diservis dapat membantu mereka dengan alahan mengurangkan simptom yang dialami. Pembersih udara bersaiz kecil selalunya tidak akan mendatangkan apa-apa perubahan.
Walau bagaimanapun, ramai penghidap alahan yang mengakui simptom mereka dapat dikurangkan jika mereka selalu membersihkan rumah dan dalam masa yang sama, memakai air purifier.
6. Bersin, batuk dan mata berair merupakan tanda alahan bulu kucing

Jawapannya: Tidak benar.
Sebenarnya, ada banyak lagi tanda alahan terhadap haiwan selain bersin, batuk dan mata berair.
Malah, anda juga mungkin akan alami masalah lain seperti gatal kulit, sesak nafas, ruam pada wajah dan leher serta serangan asma jika anda mengalami alahan.
Jika anda mempunyai alahan bulu kucing yang serius, basuh tangan serta-merta selepas menyentuh haiwan peliharaan. Jumpa doktor secepat mungkin jika simptom yang dialami menjadi semakin teruk.
7. Alahan haiwan tidak seteruk alahan makanan
Jawapannya: Tidak benar.
Simptom alahan bulu kucing dan alahan makanan adalah sama. Sebagai contoh, selepas memegang anjing atau kucing, penghidap alahan mungkin akan mengalami ruam atau gatal-gatal.
Malah, ada juga yang akan bersin dan batuk jika terdedah pada bulu kucing atau anjing. Namun, ada juga alahan yang serius dan memerlukan perhatian pakar secepat mungkin. Jadi, jangan sesekali anggap alahan yang orang lain alami tidak serius.
Secara ringkasnya, diharapkan agar perkongsian daripada Hello Doktor ini sedikit sebanyak dapat membantu anda untuk tidak mempercayai mitos yang sering dikongsi oleh orang ramai di media sosial. Semoga ianya bermanfaat kepada anda.
Sumber: Hello Doktor