Siakap Keli
jangan bagi makanan haiwan liar
Tangkap layar video

“Dia Dah Tak Takut Manusia”, Pengkaji Dedah Kenapa Jangan Beri Makanan Kepada Haiwan Liar

Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal.

Seorang pengkaji bebas mendedahkan kepada orang ramai bahawa jangan sekali-kali bagi makanan kepada haiwan liar, terutamanya di jalanan.

Rata-rata rakyat Malaysia mengalami pengalaman yang sangat ‘indah’ ketika melancong, contohnya makanan dicuri monyet. Bukan itu sahaja, haiwan-haiwan liar seperti ini juga akan ‘mengambil’ barangan pelancong, sudah semestinya tanpa kebenaran dan kerelaan mereka.

Perkara yang mejengkelkan ini membuatkan kita tertanya-tanya, apa yang menjadikan haiwan-haiwan itu bertindak sedemikian rupa? Adakah nalurinya memang begitu, atau pun  terdapat faktor lain yang menyebabkan hidupan liar berkenaan berubah sifatnya?

Gambar hiasan | Kredit: Sinar Harian

Perkara ini telah dijawab oleh pengkaji bebas, Mohd Ilham Norhakim Lokman menerusi sebuah video Facebook di halaman Abg Ikan: Adventure. Dalam video tersebut, beliau menerangkan bahawa kita sepatutnya TIDAK BOLEH memberi makan kepada haiwan-haiwan liar. Berikut merupakan sebab-sebabnya:

1. Mengubah sifat semula jadi haiwan tersebut

Secara logiknya, apabila kita terserempak dengan sesuatu yang ganjil seperti haiwan mahupun entiti ghaib, kita akan berusaha untuk menjauhkan diri ataupun lari sampai tidak cukup tanah. Begitu juga dengan haiwan liar, sepatutnya kehadiran manusia dalam habitat mereka akan menakutkannya dan akan menjauhkan diri sejauh mungkin.

Ini juga merupakan fitrah alam semula jadi untuk meneruskan kemandirian spesiesnya. Walau bagaimanapun, haiwan-haiwan liar yang telah diberi makanan secara kerap oleh manusia, tidak menunjukkan reaksi tersebut.

Boleh dikatakan, tindakan manusia yang memberikan makanan tanpa henti kepada haiwan liar telah mengubah sifatnya untuk tidak takutkan manusia lagi. Macam menyeronokkan, bukan? Bagi pencinta haiwan, perkara ini mungkin satu peluang keemasan kerana anda tidak berusaha keras untuk berinteraksi dengan haiwan sebegini.

Namun tindakan ini telah mencetuskan bahaya yang lebih dahsyat, bukan sahaja terhadap haiwan tersebut. Perubahan sifat haiwan ini juga akan membawa kepada beberapa masalah lain kerana haiwan-haiwan ini tidak lagi mematuhi hukum alam yang asal.

2. Mencetuskan bahaya terhadap haiwan liar

Tangkap layar video

Perubahan sifat semula jadi haiwan ini telah mencetuskan pelbagai masalah. Pertama, haiwan ini tidak lagi mampu mencari makanannya sendiri. Ia akan terus mengharapkan makanan daripada manusia dan menyebabkan kemahiran kognitifnya merosot.

Bayangkan jika suatu hari, tiada lagi manusia yang lalu lalang di kawasan tersebut. Bagaimana haiwan ini akan mampu mencari makanan sendiri? Kemahiran kognitif seperti bergayut dan deria haiwan-haiwan ini menjadik semakin merosot kerana jarang diasah.

Ketidakmampuan haiwan-haiwan untuk mendapatkan makanan sendiri akan mengurangkan populasi haiwan ini dalam habitat asalnya. Ini boleh membawa kepada kepupusan spesies jika faktor pembalakan dan pemburuan haram diambil kira.

Lunturnya sifat semula jadi yang takutkan manusia, telah menjadikan haiwan-haiwan ini semakin mudah untuk diburu secara berluasa. Hal ini disebabkan ia sudah tidak lagi takutkan manusia dan peluang ini akan digunakan sebaik mungkin oleh pemburu haram untuk mengeksplotasi haiwan-haiwan ini.

3. Bertindak lebih agresif dan mencetuskan bahaya terhadap manusia

Selain itu, manusia juga tidak lari daripada menerima impak yang besar. Disebabkan ramai manusia yang memberikan makanan kepada haiwan liar, ia boleh bertindak agresif terhadap manusia. Ini boleh terjadi apabila kehendak haiwan-haiwan ini tidak dapat dituruti.

Jika ada manusia yang enggan memberikan makanannya kepadanya, haiwan liar boleh bertindak agresif seperti mencakar muka, merampas barangan kepunyaan manusia dan  mengejarnya. Keadaan fizikal yang dimiliki haiwan liar seperti kuku yang tajam boleh memberikan kecederaan yang besar.

Gambar sekadar hiasan | Kredit: Unsplash via Google

Seterusnya, haiwan-haiwan ini juga boleh menganggu keadaan trafik dan menyukarkan pemanduan. Walaupun haiwan ini tinggal di dalam habitat liar, manusia telah membuatnya lebih suka ‘mendatangi’ mereka, tanpa mengenal keadaan semasa.

Haiwan-haiwan liar ini juga berpotensi untuk menjadi punca kemalangan di atas jalan raya. Haiwan ini biasanya akan suka pergi ke arah tayar kereta dan boleh menyebabkan ia tergesel sekali. Lebih dahsyat, pengguna jalan raya boleh terbabit dalam kemalangan akibat ingin mengelakkan diri daripada berlanggar dengan haiwan-haiwan tersebut.

4. Membahayakan kesihatan haiwan-haiwan liar

Tahukah anda, kandungan nutrisi pada makanan manusia adalah tidak bersesuaian dengan diet haiwan, walaupun haiwan peliharaan. Seperti yang kita tahu, kucing tidak boleh makan coklat kerana ia bersifat toksik bagi haiwan tersebut.

Secara mudahnya, reaksi yang dihasilkan oleh badan haiwan liar adalah tidak sama dengan reaksi yang dihasilkan oleh badan manusia. Mungkin kita tidak mengalami apa-apa selepas makan sesuatu makanan tetapi reaksi yang dihasilkan oleh haiwan liar tidak sama disebabkan perbezaan pada struktur sistem pencernaan.

Tangkap layar video

Selain itu, jika haiwan liar diberi makanan secara kerap, ia terdedah untuk mengalami masalah obesiti. Untuk makluman, haiwan liar sangat sukar untuk mengalami masalah ini. Menurut West dan York (1998), kadar obesiti dalam spesies monyet adalah bukan kebiasaan dalam persekitaran alaminya, disebabkan sumber makanan yang terhad dan tekanan daripada para pemangsa.

Obesiti boleh menyebabkan haiwan-haiwan ini semakin sukar untuk bergerak dan sukar untuk melarikan diri ketika saat-saat kecemasan. Sebagai contoh, haiwan ini semakin kurang cekap untuk melepaskan diri daripada ancaman pemangsa atau menyelamatkan diri daripada ditimpa kayu balak ketika hutan ditebang.

5. Penyebaran penyakit zoonotik

Penyakit zoonotik merupakan sejenis penyakit bawaan haiwan. Biasanya haiwan akan dikenali sebagai hos dan membawa patogen menerusi jasadnya. Contoh-contoh penyakit zoonotik adalah AIDS, H1N1 danCOVID-19 juga merupakan salah satu penyakit zoonotik yang mampu melumpuhkan dunia.

Kredit: KKM

Ini merupakan satu kebimbangan terbesar dan ancaman kesihatan manusia secara langsung, yang boleh membawa kepada kematian. Merentasi dunia, terdapat 13 penyakit zoonotik umum, yang memberikan impak besar kepada penduduk di negara mundur dan menyebabkan anggaran kes jangkitan sebanyak 2.4 bilion dan kematian kira-kira 2.7 juta setiap tahun.

Lebih berbahaya, patogen ini boleh bermutasi untuk menadaptasi kemandiriannya dalam hos baharu. Ini yang menyebabkan sesetengah wabak memiliki pelbagai varians dan semakin ia banyak ‘melompat’ ke hos yang berbeza spesies, semakin kompleks strukturnya. Perkara ini menyukarkan manusia untuk mendapatkan penawar bagi sesuatu penyakit zoonotik.

Akhir sekali, jelaslah perbuatan manusia yang disifatkan ‘penyayang’, tetapi sebenarnya lebih ‘memakan’ tuannya sendiri. Haiwan liar wajarlah tinggal dan mejalani kehidupannya mengikut aturan yang ditetapkan secara alami. Sifat ‘penyayang’ tidak semestinya dipupuk dengan memberikannya makanan, ia juga boleh dipupuk dengan mengekalkannya dalam keadaan ekologi asal.

Untuk mengetahui penerangan Mohd Ilham dengan lebih lanjut mari ikuti videonya di bawah.

@abg_ikan6945

Sebab-sebab kita tidak sepatotnya bagi makan pada kera dan haiwan² liar @encoreuthm @𝐇𝐞𝐢𝐝𝐢 #fy #fyp #fypシ #fypage #fypシ゚viral #monyet #kera #primate #primatology #ilmu #sains #biologist #zoologist #roadkil #down

♬ original sound – Abg Ikan : The Adventure – Abg Ikan : The Adventure

Video tersebut dihasilkan oleh Mohd Ilham Norhakim Lokman, seorang penyelidik pelawat dari eNCORe UTHM bersama Prof Madya Abdul Latiff dan pelajar-pelajar berdasarkan kajian mengenai kelakuan dan perubahan perilaku kera-kera akibat perbuatan manusia yang sering memberi makan padanya.

Selain itu, informasi dalam artikel ini juga ditambah oleh seorang pelajar Doktor Falsafah di UTHM, Hidayah Haris untuk menjadikan artikel ini lebih terperinci. Semoga usaha anda dan kita semua untuk melestarikan ekosistem negara dipermudahkan.

Sebelum ini Mohd Ilham pernah membuat pendedahan tentang kemunculan ‘lambakan’ spesies pendatang, udang kara air tawar dari Australia yang menguasai hampir segenap koloni di sebuah kawasan sungai di Muar, Johor.

Keratan artikel terdahulu

BACA JUGA: (Video) Letak 30 Minit Dah Masuk Umpan, Lelaki Ini Kesan Banyak Spesies ‘Lobster’ Air Tawar Australia Di Muar

Sumber: Abg Ikan:Adventure via Facebook

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.