Apa Berlaku Lepas Parlimen Dibubar? Ini Yang Anda Perlu Tahu
Dalam satu Perutusan Khas pada jam 3 petang tadi, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara rasmi mengumumkan pembubaran Parlimen ke-14.
Memetik laporan Astro Awani, selepas Bajet 2023 telah dibentangkan oleh kerajaan campuran itu, akhirnya tarikh pembubaran Parlimen menemui noktah hari ini selepas menjadi isu hangat sepanjang minggu lalu.
Kini, ia menjadi tanda tanya siapa yang bakal memegang mandat yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu untuk tempoh lima tahun akan datang bagi mentadbir negara.
Pembubaran Parlimen
Selepas Perdana Menteri menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa di Istana Negara semalam, Istana Negara hari ini memaklumkan bahawa tarikh pembubaran Parlimen berkuatkuasa pada 10 Oktober, lapor Astro Awani.
Walaupun tidak termaktub dalam Perlembagaan berhubung Kerajaan Sementara, namun kerajaan yang dipimpin oleh Ismail Sabri kini masih mempunyai kuasa sementara dan terhad dalam menjalankan kerja-kerja secara interim berdasarkan amalan sistem Westminter.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali bakal menjalankan tugas bagi melicinkan pentadbiran kerajaan sementara perkhidmatan awam dan gerak kerja pihak berkuasa masih berjalan seperti biasa.
Selaras dengan pembubaran parlimen, persidangan dewan rakyat yang bakal membentangkan kesemua dasar dan akta ditangguhkan buat sementara waktu.
Meskipun bajet 2023 telah dibentangkan baru-baru ini, ia bakal diumumkan semula pada tahun hadapan dengan mengambil kira proses yang dimulakan dari awal selepas pimpinan baharu terbentuk bagi PRU15, lapor Astro Awani.

Bagi peringkat Negeri, kebiasaannya Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri-negeri turut dibubarkan pada hari yang sama (Parlimen dibubarkan). Bagaimanapun ia sedikit berbeza bagi PRU15 apabila Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor lebih awal menjalankan Pilihan Raya Negeri.
Jelas Astro Awani, DUN negeri-negeri yang berada di bawah pentadbiran parti pembangkang, Pakatan Harapan (PH) termasuk Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor hanya akan dibubarkan pada 2023 sama selari dengan kenyataan yang diterbitkan oleh parti gabungan itu.
Sementara itu, DUN Kedah, Terengganu dan Kelantan yang merupakan tapak pimpinan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pula masih dalam perbincangan sama ada mahu membubarkan atau tidak.
SPR Bakal Umum Tarikh PRU15
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) bakal mengumumkan tarikh-tarikh penting bagi PRU15 seperti penamaan calon, hari mengundi awal dan hari mengundi biasa selepas mengadakan mesyuarat dan sidang media dalam waktu 60 hari.
Tambah Astro Awani, sebelum pilihan raya diadakan, SPR akan mengeluarkan writ dan arahan kepada pegawai pilihan raya di kawasan masing-masing di seluruh negara serta notis pilihan raya diletakkan di semua lokasi untuk makluman orang awam.

Segala info berkaitan penamaan calon, tarikh pengundian awal dan pengundian biasa terkandung dalam notis tersebut.
Medan Politik Dibuka
Seterusnya, pada hari penamaan calon, setiap parti politik perlu mempersiapkan calon-calon untuk bertanding di kawasan berkenaan dan menyerahkan borang calon pada Tarikh Penamaan Calon antara jam 9 hingga 10 pagi.
Bagi calon yang ingin merebut kerusi Parlimen, mereka perlu membayar deposit sebanyak RM10,000 manakala bagi kerusi DUN pula hanya RM5,000.
Dalam proses ini, calon dapat bertanding setelah borang pencalonan diisi dengan lengkap dan disemak oleh pegawai pilihan raya.
Sekiranya calon bertanding didapati tidak mengisi borang maklumat dengan lengkap, muflis, tidak sempurna akal atau bukan warganegara Malaysia, penyertaannya akan terbatal.
Keputusan calon yang layak bertanding dalam merebut kerusi akan diumumkan oleh pegawai pilihan raya selepas jam 10 pagi.
Kempen Pilihan Raya Dimulakan
Biasanya, kempen pilihan raya akan berlangsung selama 12 hingga 14 hari selepas diumumkan oleh pihak SPR sebaik sahaja keputusan penamaan calon selesai.
Jelas Astro Awani, RM200,000 merupakan perbelanjaan maksimum yang boleh dikeluarkan oleh calon kerusi Parlimen sepanjang berkempen manakala calon pula boleh berbelanja sehingga jumlah maksimum RM100,000.

Bagi memastikan aktiviti berkempen berlangsung mengikuti peraturan yang telah ditetapkan, SPR bakal menubuhkan pasukan petugas untuk memantau tingkah laku calon sepanjang waktu tersebut.
Bukan sahaja pasukan petugas, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut sama terlibat bagi membasmi sebarang unsur rasuah serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengawal keadaan agar sentiasa terkawal.
Proses berkempen biasanya akan tamat pada jam 12 tengah malam sebelum hari pengundian.
Undi Awal, Undi Pos
Undi awal boleh dilakukan sebelum hari pengundian, dalam kes ini anggota PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) boleh membuat undi terlebih dahulu.
Jumlah undi tersebut akan disimpan di tempat yang selamat sehingga proses kiraan pengundian dilakukan bersama kertas undi lain.
Sementara itu, undi pos pula dilakukan bagi mereka yang berada di luar negara. Undi pos mempunyai dua kategori iaitu warganegara Malaysia yang sudah berdaftar untuk mengundi secara pos atau mereka yang tidak perlu mendapatkan kelulusan untuk mendapatkan undian pos, maklum Astro Awani.
Oleh itu, mereka akan dibenarkan menerima kertas undian lebih awal sebaik sahaja dicetak dan perlu dihantar semula kepada Pejabat Pilihan Raya pada jam 5 petang sewaktu hari pengundian.
Hari Pengundian
Untuk makluman, PRU15 di Semenanjung dan Sabah serta Sarawak bakal dilanjutkan satu jam bagi waktu pengundian yang merupakan antara beberapa penambahbaikan yang dilakukan oleh SPR termasuk mewujudkan saluran khusus kepada pengundi yang berumur 60 tahun dan Orang Kurang Upaya (OKU).
Maklum Astro Awani lagi, ia bagi memastikan proses pilihan raya di negara lebih efisyen, adil dan telus.

Seramai 450 orang sahaja dihadkan bagi saluran satu dan dua di pusat mengundi termasuk pengundi warga emas dan OKU.
Dalam pada itu, SPR turut mengambil alternatif lain dengan menambah jumlah pusat mengundi dan saluran sedia bagi mengelakkan keributan sewaktu hari mengundi berikutan pelaksanaan Undi 18 tahun.
Kiraan Undi
Kertas undi akan dikira oleh Pegawai Pengerusi selepas undian ditutup. Jumlah kertas undi mestilah sama sewaktu diterima sebelum proses pengundian di setiap pusat undi dengan kertas undi yang diberikan kepada pengundi termasuk yang tidak digunakan.
Sebelum pengiraan dijalankan, kertas undi rosak atau hantu akan diketepikan dahulu, barulah proses pengiraan akan dimulakan. Untuk kertas undi rosak atau hantu, ia akan diperiksa semula oleh pegawai pengerusi sama ada boleh digunakan ataupun tidak.
Pegawai pilihan raya akan mengumumkan keputusan undian di pusat undian masing-masing setelah borang jumlah undian dibawa ke pusat pengiraan undi.
Sumber: Astro Awani