KKM Syor SPR Sedia Laluan Khas Untuk Pesakit COVID-19 Ketika Mengundi – Khairy
Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan di Twitter berkata bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang berbincang dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menyediakan garis panduan “COVID Safe’ menjelang Pilihan Raya ke-15 nanti.
Menurutnya, KKM turut mengesyorkan agar tiada lagi sekatan sewaktu berkempen dan menyediakan laluan khas bagi pesakit COVID untuk menjalankan hak mereka sebagai pengundi dengan selamat.
“KKM sudah sediakan saranan-saranan supaya lebih banyak lagi kelonggaran diberikan, dan calon bebas untuk jumpa, parti bebas beri ceramah, dan tiada sekatan seperti dahulu supaya proses demokrasi ini boleh dijalankan lebih adil kepada semua.
“Begitu juga hak mengundi bagi individu positif COVID-19, yang menjalani pengasingan di rumah, tak kritikal boleh mengundi… mungkin laluan mengundi berbeza, khemah asing, sentiasa pakai pelitup muka maka dengan ini hak mereka mesti dihormati,” katanya selepas merasmikan Seminar Pengurusan Bencana di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Khairy berkata KKM telah menimbangkan isu hak mengundi ini dengan mendalam sebelum mengemukakan syor kepada SPR kerana ia termaktub dalam Perlembagaan, dan sebarang syor yang diberikan kepada SPR turut mengambil kira kepentingan orang ramai agar tidak dimudaratkan dengan kehadiran pesakit COVID-19, lapor Bernama.
“Kita dah bincang dengan SPR dan mereka akan memuktamadkan minggu ni. Apa-apa keputusan yang ada kepentingan awam boleh dibuat, dan ini untuk kepentingan awam, lagipun arahan ini dah buat sebelum Parlimen bubar. Kita fikir panjang di KKM, akal panjang,” katanya.
Terdahulu KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenankan pembubaran Parlimen yang ke-14 semalam.
Dalam laporan SK semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan perkara tersebut dalam satu Perutusan Khas Perdana Menteri.
KKM sedang berbincang dengan SPR, garis panduan PRU yang ‘COVID safe’. Ini termasuk syor KKM agar tiada lagi sekatan berkempen dan juga kemudahan/laluan khas bagi pesakit COVID untuk menjalankan hak mereka untuk mengundi dengan selamat.
— Khairy Jamaluddin 🇲🇾🌺 (@Khairykj) October 11, 2022
Sumber: Twitter Khairy Jamaluddin, Bernama