Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) sukacita menganugerahkan Tokoh Utama Maulidur Rasul SAW Peringkat Wilayah Persekutuan 1444H kepada YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Alimuddin bin Haji Mohd Dom, Pengerusi Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) yang juga merupakan mantan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia.
Penganugerahan tersebut dibuat sebagai tanda penghargaan di atas khidmat bakti dan sumbangan yang amat signifikan dalam memartabatkan syiar Islam dan pendidikan Islam di Malaysia khususnya di Wilayah Persekutuan.
Manakala Anugerah Khas individu diberikan kepada Encik Arbaani bin Talib, pekerja am pembersihan syarikat pengurusan alam sekitar, Alam Flora Sdn. Bhd. Dedikasi dan komitmen tinggi yang ditunjukkan beliau sepanjang menjalankan tugas yang tidak banyak diceburi atau dianggap remeh atau kotor oleh sebilangan masyarakat menjadi asas pemilihan anugerah dibuat.
Anugerah Khas Kategori Organisasi pula diberikan kepada Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar Kuala Lumpur (Kategori Masjid), Surau Putra Al-Amin Putrajaya (Kategori Surau/Surau Jumaat), Sekolah Menengah Kebangsaan Rancha-Rancha Labuan (Kategori Sekolah Menengah Kebangsaan), Sekolah Rendah Agama Salahuddin Al-Ayubi Kuala Lumpur (Kategori Sekolah Rendah Agama), dan Yayasan Amal Malaysia Cawangan Kuala Lumpur (Kategori Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).
Tokoh Utama menerima hadiah wang tunai berjumlah RM8,000, pakej umrah tajaan Tabung Haji Travel & Services Sdn. Bhd. serta plak dan sijil.
Penerima Anugerah Khas Maulidur Rasul SAW bagi kategori individu pula menerima wang tunai berjumlah RM3,000, serta plak dan sijil, manakala Penerima Anugerah Khas Maulidur Rasul SAW bagi kategori organisasi masing-masing menerima wang tunai berjumlah RM2,000, serta plak dan sijil.
Kesemua penerima anugerah ditentukan melalui keputusan yang dibuat oleh jawatankuasa penilaian berdasarkan kriteria dan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Penyampaian anugerah disempurnakan oleh YB Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Turut hadir Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan dan Datuk Haji Mohd Ajib Ismail, Pengarah JAWI.
Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Wilayah Persekutuan tahun ini dimeriahkan dengan aktiviti perarakan kontinjen yang disertai oleh 22 buah kontinjen dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta sekitar Wilayah Persekutuan dengan jumlah penyertaan sekitar 660 orang. Suasana tersebut mengembalikan nostalgia acara sambutan sebelum pandemik Covid-19 melanda negara dengan aktiviti berselawat beramai-ramai ke atas junjungan mulia Rasulullah SAW.