Siakap Keli
kit bencana kanak kanak
Gambar: Tangkap layar video YB Nurul Izzah

Persediaan Banjir: YB Nurul Izzah Kongsi 10 Benda Wajib Dalam Kit Bencana Untuk Kanak-kanak

Saban menjelang hujung tahun, negara kita ‘sudah biasa’ berhadapan dengan musim tengkujuh yang melanda. Justeru, persiapan mahupun persediaan perlu kita lakukan bagi mengurangkan risiko bak kata orang ‘berjaga-jaga sebelum mendapat sesuatu bencana’.

Sudah pasti ada sebahagian tempat yang akan mengalami kenaikan paras air yang melampau dan begitu juga sebaliknya. Oleh itu, persediaan dari aspek fizikal dan mental amat penting sepanjang menempuh musim ini di samping langkah berjaga-jaga perlu diambil oleh orang awam. Hal ini dikatakan demikian kerana keselamatan dan kebajikan orang awam sangat dititikberatkan dalam perkara ini.

Malah, peranan pihak kerajaan dalam membendung atau mengurangkan beban bagi golongan yang terjejas dengan banjir sangat diperlukan. Hal ini kerana kita sedia maklum impaknya yang serius kepada orang awam misalnya dari aspek tempat tinggal, pakaian, bekalan makanan serta minuman, peralatan rumah dan sebagainya.

Oleh itu, perkara ini tidak boleh dipandang remeh oleh mana-mana pihak malah persediaan yang rapi perlu dilaksanakan supaya risiko kerosakan atau kerugian barangan mampu dikurangkan.

Gambar sekadar hiasan | Kredit: Bernama

Baru-baru ini dapat dilihat dalam satu perkongsian Ahli Parlimen Permatang Pauh YB Nurul Izzah di laman Facebook tentang 10 benda yang wajib ada dalam kit bencana untuk kanak-kanak. Perkongsian ini sudah pasti menjurus kepada kanak-kanak yang sering menjadi keutamaan jika ada apa-apa bencana yang berlaku selain golongan tua.

Jadi, YB Nurul Izzah menyenaraikan 10 barangan yang wajib ada ketika bencana iaitu khas untuk golongan kanak-kanak sahaja.

Barang pertama yang wajib ada dalam kit bencana tersebut ialah beg kalis air. Beg kalis air ini berfungsi untuk menyimpan barang-barang bagi mengelakkan daripada terkena air ketika banjir.

Kedua, air mineral dan makanan tahan lama. Seperti yang kita tahu, bekalan makanan atau minuman yang secukupnya sukar untuk didapati ketika banjir melanda. Justeru, dengan adanya air mineral dan makanan tahan lama boleh mengurangkan tahap kelaparkan kanak-kanak yang secara umumnya memang memerlukan makanan yang secukupnya untuk tumbesaran.

Yang ketiga ialah baju hujan. Baju hujan ini bertindak untuk memberi perlindungan kepada golongan kanak-kanak daripada hujan lebat. Perkara ini sangat membantu dari aspek keselamatan dan kesihatan kanak-kanak supaya lebih terjaga.

Keempat, buku aktiviti mewarna dan pensel warna. Barangan ini diperlukan oleh golongan kanak-kanak iaitu bertujuan untuk mengisi masa sepanjang mereka berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Kelima, Ziplock Bag. Ziplock beg ini digunakan untuk menyimpan dokumen penting supaya dapat dihindari daripada terkena air banjir atau air hujan.

Yang keenam, selimut haba kecemasan. Selimut ini sangat penting bagi golongan kanak-kanak untuk membekalkan haba atau mengembalikan suhu badan mereka kepada suhu yang asal selepas hujan melanda.

Gambar: tangkap layar video

Seterusnya, kit kebersihan. Kit Kebersihan ini diperlukan untuk golongan kanak-kanak supaya kebersihan diri sentiasa terjaga. Hal ini kerana ketika berada di PPS, rata-rata bekalan seperti sabun, ubat gigi dan sebagainya agak sukar diperolehi, selain faktor kepadatan lokaliti yang memberi risiko kepada kebersihan.

Selain itu, First Aid Kit iaitu keperluan dari aspek kebajikan kanak-kanak. Hal ini akan memberi persediaan awal kepada golongan kanak-kanak sekiranya mereka mengalami kecederaan atau luka.

Di samping itu, penggunaan wisel iaitu untuk meminta pertolongan pada siang hari. Dengan adanya wisel ini pasukan keselamatan ini akan mudah mengetahui keberadaaan gologan kanak-kanak melalui pendengaran.

Dan yang terakhir iaitu ‘Glowstick‘ iaitu bertujuan untuk memberitahu keberadaan kita kepada pasukan penyelamat  pada waktu malam. Penggunaan ‘glowstick’ ini perlu dipatahkan terlebih dahulu sebelum menggunakannnya. Dengan cahaya yang dibekalkan, maka pasukan keselamatan akan mudah mengesan keberadaan golongan kanak-kanak melalui penglihatan.

Barang-barang yang tersenarai di atas mempunyai kepentingannya yang tersendiri iaitu sudah pasti merupakan barangan penting untuk golongan kanak-kanak. Dengan adanya ‘kit bencana’ yang disediakan seperti ini kebajikan kanak-kanak ketika banjir akan lebih terpelihara malah mendedahkan kanak-kanak dengan persediaan menghadapai banjir.

Perkongsian daripada YB Nurul Izzah ini diharapkan dapat membantu golongan kanak-kanak sebagai langkah-langkah persediaan sebelum, semasa dan selepas banjir berlaku.

Sumber: Nurul Izzah Anwar | Facebook

Florence Nuar

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.