Siakap Keli
Gambar: BBC

Terletak Di Ketinggian 4,693 Meter, Mesin ATM Ini Disahkan Tertinggi Di Dunia

Terletak Di Ketinggian 4,693 Meter, Mesin ATM Ini Disahkan Tertinggi Di Dunia

ISLAMABAD – Sebuah mesin pengeluaran automatik (ATM) yang terletak di puncak gunung pada altitud 4,693 meter diiktiraf sebagai ATM tertinggi di dunia di Lintasan Khunjerab iaitu antara sempadan China dan Pakistan, lapor laman berita Oddity Central.

Memetik laporan Kosmo, mesin ATM tersebut dibina pada 2016 oleh Bank Nasional Pakistan (NBP). Lokasinya terletak di sebuah tempat terpencil dan dijana oleh tenaga solar dan angin.

Gambar: Facebook Unofficial: Skardu

Pemasangan ATM tertinggi di dunia yang diiktiraf oleh Guinness World Records ini merupakan satu usaha yang agak rumit dan mengambil masa sekitar empat bulan untuk disiapkan oleh NBP.

Selain itu juga, kerja-kerja mengisi semula wang tunai dan penyelenggaraan sukar untuk dilakukan secara berkala kerana jarak cawangan bank yang terdekat terletak pada jarak 82 KM.

Zahid Hussain, pengurus cawangan NBP yang kerap memandu lokasi ATM itu terpaksa mengharungi angin kencang, ribut, tanah runtuh dan laluan gunung yang berbahaya untuk memastikan ia berfungsi dengan baik, lapor Kosmo.

Mesin ATM yang terletak pada ketinggian 4,693 meter di atas paras laut itu pada kebiasaannya digunakan oleh pengawal sempadan untuk mengeluarkan gaji bulanan mereka, penduduk tempatan serta individu yang melintasi sempadan menggunakan pas sempadan.

Gambar: Wikimedia Commons

Menurut laporan, jumlah pengeluaran wang tunai dalam beberapa minggu dianggarkan sekitar $18,350 hingga $23,000 (RM85,728 hingga RM107,451).

Jurucakap NBP memberitahu Badan Penyiaran Britain (BBC) bahawa sekiranya mesin ATM tersebut perlu dibaiki,  ia mengambil masa antara 2 jam hingga 2 jam 30 minit untuk sampai ke lokasi ATM.

Walaupun lokasinya penuh berliku, tetapi ia sebenarnya tidaklah buruk sama sekali.

Tambahan lagi, NBP sentiasa memastikan mesin ATM tersebut berada dalam keadaan baik walaupun bilangan transaksinya rendah. Hal ini disebabkan keadaan penduduk bergantung kepadanya.

Zahid berkata “Meskipun bilangan transaksi tidak tinggi tetapi mereka yang tinggal di sekitar lokasi tersebut tidak mempunyai kemudahan lain untuk mengeluarkan dan memindahkan wang gaji mereka kepada orang tersayang dan ahli keluarga”.

Sumber: Kosmo

Noorliyana Ishak

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.