Britain Dilapor Akan Bekalkan Peluru Berpandu, Dron Kepada Ukraine
Britain mengumumkan bakal membekalkan peluru berpandu kepada Ukraine bagi mempertahankan negara itu dalam menentang serangan Rusia pada Rabu.
Memetik AFP, buat pertama kalinya Britain membekal senjata roket itu kepada negara berkenaan bagi membantu sekutunya daripada serangan udara Rusia.
Menteri Pertahanan Britain, Ben Wallace dalam satu kenyataan berkata Roket AMRAAM akan disediakan dalam tempoh beberapa minggu akan datang untuk digunakan dengan sistem pertahanan udara NASAMS oleh Amerika Syarikat (AS).
“Roket itu akan membantu melindungi infrastruktur negara Ukraine,” jelasnya lagi.
Tambah Ben, Britain juga akan menghantar ratusan dron bagi membantu kegiatan perisikan Ukraine termasuk 18 meriam howitzer tambahan yang sebelum ini telah dihantar sebanyak 64 buah meriam.
“Senjata ini bersama NASAMS AS akan membantu Ukraine mempertahan dan mengukuhkan ruang udara daripada serangan,” katanya lagi.
Sementara itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky sewaktu menghubungi kelab G7 pada Selasa lalu telah dimaklumkan bahawa Britain sedia membantu Kyiv untuk mencipta ‘pertahanan udara’.
Tambahan lagi, Ketua NATO, Jens Stoltenberg turut berkata mengukuhkan lagi pertahanan udara menjadi keutamaan bagi melindungi daripada sebarang serangan Rusia.
Menteri-menteri pertahanan dari perikatan tentara Barat bakal mengadakan pertemuan di Brussels pada Khamis.
Terdahulu, Presiden Rusia, Vladimir Putin telah melancarkan serangan di seluruh Ukraine pada Isnin lalu ekoran letupan yang berlaku di jambatan di semenanjung Crimea.
Sumber: AFP
BACA JUGA: Letupan Jambatan Crimea: Putin Dakwa Ukraine Lakukan Keganasan