Hasrat seorang lelaki di Thailand yang sangat bercita-cita untuk menjadi anggota polis sehingga sanggup menyamar dengan berpakaian seragam penguatkuasa itu akhirnya musnah apabila dia ditahan polis pada Jumaat.
Suspek, 30 tahun yang lengkap berpakaian seragam polis melaporkan dirinya bersedia untuk berkhidmat di sebuah balai polis di daerah Din Daeng di Bangkok pada 9:30 pagi pada hari Jumaat 7 Oktober baru-baru ini.
Jurucakap Balai Polis Din Daeng, Nattuwut Anchoorit berkata suspek terbabit melaporkan dirinya di balai berkenaan dan memaklumkan bahawa dirinya adalah pegawai baharu yang mula bertugas di sana.
Tambahan lagi, suspek turut mengakui dirinya berpangkat Mejar Jeneral dan mendakwa sebagai alumni ke-75 Akademi Kadet Polis Diraja iaitu tempatnya mendapat pangkat general.
Bagaimanapun Nattuwut memaklumkan kepada media tentang kecurigaannya terhadap suspek kerana tempoh tersebut terlalu awal untuk seseorang graduan Akademi Kadet Polis Diraja ke-75 untuk memperoleh pangkat Jeneral Utama.
Tambahan pula, beliau tidak dimaklumkan mengenai pegawai baharu yang bakal melaporkan diri, malah suspek juga difahamkan tidak mempunyai kad pengenalan polis.

Nattuwut yang sedar akan keadaan mencurigakan itu hanya berpura-pura mengikuti muslihat lelaki terbabit yang kononnnya sebagai pegawai baharu.
Malah, Nattuwut juga memintanya untuk melakukan beberapa ‘squat’ dengan mengatakan bahawa perkara tersebut merupakan tradisi sekiranya pegawai baharu melaporkan diri.
Kemudian, Nattuwut dan beberapa pegawai lain bertindak menyoal suspek sehingga akhirnya dia mengaku bahawa dirinya hanya menyamar menjadi pihak polis serta mengaku bahawa pakaian seragamnya itu dibeli dari platform e-dagang, Lazada.
Sementara itu menurut jiran suspek, Thairath, perkenalan mereka hampir mencecah setahun namun mereka tidak banyak berbual atau berkongsi cerita.
Justeru, Thairath menyatakan bahawa suspek sebenarnya tidak memiliki sebarang kemahiran sosial.
Tambahan lagi, suspek yang menyewa di sebuah blok bersama lima atau enam yang lain sebenarnya bekerja sebagai pegawai pemasangan sistem pencegah kebakaran di rumah-rumah.
Malah menurutnya lagi, dia tidak menyedari bahawa sebelum ini suspek menyamar sebagai pegawai polis.
Suspek kini didakwa mengikut Seksyen 108 Akta Polis Diraja Thai atas kesalahan memakai seragam lengkap polis tanpa kebenaran atau hak yang sah.
Suspek berdepan dengan hukuman penjara tiga bulan hingga lima tahun atas perbuatan yang menyalahi undang-undang jika disabit kesalahan.
BACA JUGA: Lelaki Menyamar Polis, Tipu Nenek 80 Tahun ‘Sakau’ RM700K
Sumber: Thaiger