Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) secara rasminya akan dibuka beroperasi bermula pukul 12.01 tengah malam ini dan menariknya, tol diberikan percuma selama sebulan.
Menerusi laman Facebook Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS), peringatan mengenai penggunaan lebuhraya itu diberikan kepada orang awam supaya tidak berlaku sebarang kecelaruan semasa melalui lebuhraya itu.
“Ingat! Palang di lorong Touch n Go (TNG) plaza tol hanya akan terbuka apabila anda sentuh kad TNG.
“Sila pastikan kad TNG bersama anda dan disentuh ketika melalui plaza tol di Lebuhraya DASH,” maklum PROLINTAS dalam kenyataan itu pagi tadi.
Sementara itu, Bernama turut melaporkan lebuhraya DASH turut memberi 12,000 peluang pekerjaan diwujudkan babitkan pengurusan, kejuruteraan, teknikal, pembantu barisan hadapan dan pekerja kontrak.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa merasmikan DASH di Plaza Tol Denai Alam.
Dalam pada itu, kerajaan turut bersetuju mengenai cadangan penstrukturan semula empat syarikat konsesi lebuh raya kendalian Prolintas iaitu Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kemuning-Shah Alam (LKSA) dan Lebuhraya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).
Menurut PROLINTAS, tol di lebuhraya tersebut akan diberikan pengurangan dan akan berkuatkuasa pada 20 Oktober tepat jam 12.01 tengah malam.
Dalam perkembangan lain, kerajaan akan turut membina lorong tambahan dan satu terowong baharu di Genting Sempah bagi menangani masalah kesesakan di Lebuhraya KL-Karak.
Sumber: Prolintas