Perlawanan akhir Piala AFC antara Kuala Lumpur (KL) City FC menentang kelab Oman, Al-Seeb yang bakal berlangsung pada 22 Oktober ini bakal menggunakan video bantuan pengadil (VAR), lapor Sinar Harian.
Malah menurut Sinar Harian, perlawanan akhir Piala AFC itu merupakan perlawanan bola sepak pertama di Malaysia yang menggunakan bantuan VAR buat pertama kali.
Ketua Pegawai Eksekutif KL City, Stanley Bernand mengatakan penggunaan VAR tersebut merupakan syarat yang dikenakan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kepada tuan rumah jika ingin menganjurkan perlawanan akhir berkenaan.
Malah katanya syarat lain yang diletakkan oleh AFC termasuklah penggunaan lampu limpah stadium yang perlu ditetapkan sekurang-kurangnya mencapai tahap 1800 Lux.
“Bagi aksi final Piala AFC nanti, penganjur meletakkan piawaian supaya stadium yang akan digunakan perlu menggunakan VAR dan lampu limpah sekurang-kurangnya 1800 Lux.
“Bagi teknologi VAR, ia sudah dalam perjalanan untuk dibawa ke Malaysia. Ini sudah tentu perkembangan yang bagus kerana ia akan memartabatkan lagi bukan sahaja bola sepak Kuala Lumpur tetapi seluruh Malaysia
“Saya akui amanah yang diberikan ini agak berat, tapi kami sebagai hos perlawanan akhir akan cuba memberikan fasiliti yang terbaik kepada perlawanan akhir nanti,” katanya kepada pemberita Sukan Sinar semalam.
Malah dalam masa sama, Stanley tidak menafikan bahawa Stadium Nasional Bukit Jalil berkemungkinan akan digunakan sebagai lokasi perlawanan.
Stanley berkata demikian ketika ditanya pemberita mengenai tempat yang bakal menjadi pilihan untuk perlawanan akhir tersebut.
“Kalau kita lihat apa yang dimahukan oleh AFC untuk perlawanan akhir annti, saya rasa Stadium (Nasional) Bukit Jalil antara stadium yang menepati piawaian,” katanya.
Tambahnya lagi, sebarang informasi terkini dari semasa ke semasa akan dimaklumkannya kelak.
“Apa-apa pun kami akan membincangkan perkara tersebut dan mungkin pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya.
Sumber: Sinar Harian