Chon Buri – Seorang ahli perniagaan maut dalam kemalangan yang membabitkan sebuah treler 18 tayar yang sedang membuat U-turn di lebuh raya di daerah Bang Lamung pada malam Khamis baru-baru ini.
Menurut Bangkok Post, kemalangan itu berlaku kira-kira pada jam 7:30 malam di Lebuhraya 331 antara penanda Kilometer 23-24 di Tambon Pong Bang Lamung.
Pemandu treler berkenaan, Apisak Phrakhamchanthuek, 41, berkata dia pada asalnya baru lepas menghantar kargo garam ke Kawasan Perindustrian Map Ta Phut di Rayong.
Bagaimanapun semasa dalam perjalanan pulang ke Prachin Buri, sebuah kereta BMW muncul dan merempuh bahagian tengah treler tersebut ketika pemandunya sedang membuat pusingan U.
Dalam kenyataan yang sama, Apisak menyatakan kereta itu terbakar di lokasi kejadian akibat rempuhan kuat berkenaan.
Dia menggunakan alat pemadam api untuk memadamkan api dan mendapati bahawa pemandunya telah pun meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum terus menghubungi pihak polis.
Sementara itu kereta BMW berkenaan dilaporkan berada dalam keadaan yang sangat teruk kerana tersepit di bawah treler tersebut.
Pasukan penyelamat mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan pemandu BMW tersebut.
Siasatan awal mendapati mangsa yang berumur 31 tahun itu merupakan pemilik projek perumahan serta syarikat pembinaan dan reka bentuk di sebuah firma tempatan.
Rentetan daripada itu, polis menyiasat untuk mengenal pasti punca kemalangan dan akan mengambil tindakan undang-undang daripada kejadian tersebut.
BACA JUGA: Empat Honda Baharu Musnah, Treler Terbakar
Sumber: Bangkok Post