Siakap Keli
Bahan Radioaktif Dari Sisa Bom Atom
Kredit Gambar: CNN

“Tidak Masuk Akal,” Bahan Radioaktif Dari Sisa Bom Atom Dilapor Ditemui Di Sekolah AS

“Tidak Masuk Akal,” Bahan Radioaktif Dari Sisa Bom Atom Dilapor Ditemui Di Sekolah AS

Sebuah sekolah di luar St. Louis, Amerika Syarikat didapati mempunyai bahan radioaktif yang dipercayai berpunca daripada sisa sampah pengeboman atom yang pertama sejak tahun 1940.

Memetik laporan CNN, Penduduk tempatan bimbang bahawa pencemaran tersebut mungkin berkait rapat dengan beberapa kes penyakit dan kematian yang berlaku di kawasan tersebut.

Menurut laporan bebas daripada Boston Chemical Data Corporation, bahan radioaktif yang dianggap tidak masuk akal itu ditemui di sepanjang kawasan Jana School di Florissant, Missouri.

“Selain Jana School, banyak kawasan seperti rumah, institusi dan kawasan perniagaaan di kawasan tersebut yang bersempadan dengan Coldwater Creek.

“Laluan air di situ telah dicemari dengan pembocoran sisa radioaktif dari pembuangan yang bermula sejurus selepas Perang Dunia II dan belum dibersihkan,” kata Marco Kaltofen, seorang pengarang kajian.

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, pihak sekolah mengatakan bahawa mereka mengetahui tentang laporan yang dibuat.

“Keselamatan selalu menjadi keutamaan kami dan kami secara aktif telah membincangkan kesan daripada penemuan tersebut. Lembaga Pendidikan akan berunding dengan peguam dan pakar di kawasan ini untuk membincangkan langkah seterusnya yang perlu diambil,” kata pihak sekolah.

Kredit: CNN

Mesyuarat lembaga sekolah telah dijadualkan pada Selasa malam.

Tambah pihak tersebut, mereka berusaha sedaya upaya untuk memastikan kawasan tersebut selamat untuk kanak-kanak.

Pihaknya juga meminta supaya surat ditulis kepada pemimpin masyarakat dan pegawai yang terpilih.

Pada bulan Ogos tahun ini, 32 sampel tanah, debu dan tanaman diambil dari sekolah untuk rujukan kajian. Sampel tersebut dikumpulkan dari tempat-tempat di seluruh sekolah seperti perpustakaan, sistem pengudaraan dan permukaan bilik darjah.

“Hasil ujian yang paling luar biasa pada bulan Ogos 2022 di Jana School adalah tahap isotop radioaktif plumbum-210 yang dijumpai di perkarangan sekolah sama sekali tidak dapat diterima,” kata laporan tersebut.

Pendedahan plumbum boleh mempengaruhi hampir setiap sistem di dalam badan dan boleh merosakkan otak serta sistem saraf.  Ia dapat melambatkan pertumbuhan dan perkembangan serta boleh menyebabkan masalah pembelajaran dan tingkah laku termasuklah penurunan IQ, ADHD, masalah pendengaran dan pertuturan.

Sumber: CNN

Farah Nabilah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.