Microsoft Dilapor Buang Hampir 1,000 Pekerja, Kali Ketiga Untuk Tahun Ini
Syarikat teknologi gergasi, Microsoft dilaporkan telah memberhentikan hampir 1,000 pekerjanya pada minggu ini merentasi beberapa bahagian, lapor Times Now News.
Difahamkan, pemberhentian pekerja itu merupakan yang ketiga dilaksanakan oleh syarikat tersebut sejak Julai lalu bagi mengurangkan beberapa tugas.
“Hari ini kami memberhentikan sejumlah kecil pekerja. Seperti semua syarikat, kami menilai keutamaan dalam perniagaan dengan kerap dan membuat penyelarasan struktur yang sewajarnya,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan.
Walaupun tindakan itu dilaksanakan namun ia tidak menjejaskan sektor itu dari segi tenaga kerja selain Microsoft tidak mendedahkan angka pekerjanya yang dipecat dalam kenyataan itu.
Bagaimanapun, menerusi laman web berita Axios yang berpusat di Amerika Syarikat melaporkan bahawa organisasi itu telah memberikan surat kepada hampir 1,000 pekerja.
Bukan sahaja Microsoft, syarikat teknologi gergasi seperti Meta Platforms, Twitter dan lain-lain turut mengurangkan pekerjanya serta membekukan pengambilan pekerja baharu dalam beberapa bulan kebelakangan ini berikutan tekanan makroekonomi dan risiko kemelesetan yang semakin meningkat.
Sementara itu, dalam data Crunchbase, ET sebelum ini juga mendedahkan bahawa lebih daripada 32,000 pekerja dalam industri teknologi Amerika Syarikat di seluruh Firma Big Tech termasuk Microsoft dan Meta bertindak membuang pekerja secara besar-besaran sejak akhir Julai.
Terdahulu, Microsoft telah memecat hampir 1 peratus daripada 180,000 pekerjanya di seluruh pejabat dan bahagian produk sebagai langkah penstrukturan semula organisasi.
Sumber: Times Now News