Dipercayai Beli Cincin Emas Guna Kad Kredit Yang Dijumpai, Lelaki Dijatuhi Hukuman Penjara
Singapura: Seorang pegawai yang bekerja di Kementerian Tenaga Manusia (MOM) Singapura dilaporkan telah dijatuhi hukuman penjara selepas bersalah menggunakan kad kredit yang dijumpainya.
Memetik laporan CNA, lelaki tersebut telah mengambil cuti separuh hari selepas menemui kad kredit tersebut dan menggunakannya bagi menambah nilai dalam kad EZ-Linknya dan membeli sebuah cincin emas.
Lelaki yang dipercayai berusia 36 tahun itu dijatuhkan hukuman penjara selama lapan bulan pada Khamis (20 Okt).
Dia mengaku bersalah atas dua tuduhan menipu dengan tiga lagi tuduhan lain yang bakal dipertimbangkan.
Mahkamah mendapati bahawa tertuduh memperoleh gaji bulanan sebanyak S$5,000 sebagai pegawai di Kementerian Tenaga Manusia ketika itu.
Ketika dalam perjalanan pulang pada 16 Mac tahun ini, lelaki tersebut menemui satu kad kredit di tepi jalan di Hougang. Dia mengambil kad tersebut lalu membawanya pulang.
Difahamkan lagi, pegawai tersebut telah menghantar satu mesej kepada penyelia di tempat kerjanya untuk memohon cuti separuh hari pada petang itu.
Dia kemudian membawa kad kredit tersebut ke Stesen MRT Hougang, dimana tempat dia menggunakan kad tersebut untuk menambah nilai sebanyak S$20 ke dalam kad EZ-Linknya.
Setelah itu, dia menaiki kereta api ke Chinatown lalu pergi ke sebuah kedai barang kemas di People’s Park Complex dan memberitahu staf di situ bahawa dia sedang mencari sebuah cincin emas tulen.
Setelah mencuba beberapa cincin, akhirnya dia membeli sebuah cincin dengan harga S$6,330 menggunakan kad kredit yang diambilnya itu.
Semasa resit ditunjukkan kepadanya, pegawai itu terus menurunkan tandatangannya.
Bukan itu sahaja, pegawai tersebut turut cuba membeli barang kemas lain yang berharga S$12,000 namun transaksi tersebut tidak berjaya kerana ditolak oleh sistem. Kemudian, pegawai itu terus meninggalkan kedai tersebut dan membuang kad kredit yang diambilnya berserta resit pembelian.
Kemudian, dia telah menjual cincin emas itu dengan harga sebanyak S$4,550 di Maxi-cash, sebuah kedai pajak gadai dan memasukkan wang tersebut ke dalam akaun banknya.
Dia menukarkan kad EZ-Linknya kepada kad yang baru lalu membuang resit pembelian cincin emas yang pernah dibeli olehnya.
Dengan hasil wang yang diperolehi, lelaki itu telah membeli barang dapur, membayar bil dan membeli tiket TOTO.
Berikutan kejadian tersebut, mangsa didapati membuat laporan polis pada akhir bulan itu yang mengatakan bahawa kad kreditnya telah hilang dan terdapat transaksi tanpa kebenarannya yang berjumlah lebih dari S$6,300.
Pendakwa raya berkata kesalahan itu dirancang dengan teliti, memandangkan tertuduh turut mengambil cuti separuh hari bagi menjalankan rancangannya.
Tertuduh juga telah mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan dirinya dikesan dengan membuang kad kredit tersebut, jelas pendakwa raya.
Sumber: CNA