Lelaki Ditemui Maut, Dipercayai Jatuh Dari Tingkat Tiga
Seorang lelaki dilapor ditemui maut selepas dipercayai jatuh dari tingkat tiga sebuah perumahan flat di Taman Sri Muda, Shah Alam pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata mangsa dijumpai di tingkat bawah blok perumahan flat dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berdarah.
“Siasatan awal di lokasi kejadian mendapati si mati dijumpai di tingkat bawah blok perumahan flat di Taman Sri Muda dalam keadaan tidak sedarkan diri dan berdarah dipercayai jatuh dari tingkat tiga blok tersebut.
“Si mati merupakan seorang lelaki warganegara India berumur 46 tahun dan (sudah) berkahwin dan punca si mati terjun bangunan dalam siasatan pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Mohd Iqbal, mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Klang untuk tujuan bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Laporan Mati Mengejut (SDR) oleh Pegawai Penyiasat (IO) Insp Mohammad Firdaus Mohd Khairi,” tambahnya lagi.
Sehubungan itu, pihak polis turut mengalu-alukan sebarang informasi daripada orang ramai untuk membantu kes tersebut dengan menyalurkan maklumat kepada IO Insp Mohammad Firdaus di talian 012-6513046.
Sumber: Facebook / IPD Shah Alam