Kementerian Kesihatan Indonesia telah mengarahkan semua farmasi yang beroperasi di Indonesia untuk tidak menjual apa-apa ubatan berbentuk cecair kepada masyarakat, buat sementara waktu.
Para petugas kesihatan juga diminta agar tidak memberikan prekripsi ubat cecair kepada pesakit. Langkah ini diambil oleh kerajaan susulan kes penyakit buah pinggang akut (AKI) yang menyerang golongan kanak-kanak di negara tersebut.
Perkara tersebut tertera pada Surat Edaran Nombor SR.01.05/III/3461/2022 tentang Kewajiban Penyelidikan Epidemiologi dan Pelaporan Kes Gangguan Ginjal Akut Atipikal (Atypical Progressive Acute Kidney Injury) Pada Anak yang ditandatangani oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Murti Utami pada Selasa (18/10).
“Seluruh farmasi diminta untuk tidak menjual ubat am dan ubat terkawal dalam bentuk cecair kepada masyarakat buat sementara waktu sehingga terdapat pengumuman rasmi daripada pihak kerajaan, berdasarkan kesesuaian pada undang-undang,” berdasarkan kenyataan daripada surat edaran tersebut.
Kemudian, Kementerian Kesihatan Indonesia juga akan mengumumkan alternatif kepada penggunaan ubat cecair. Ikatan Dokter Anak Indonesia (IDAI) juga turut merayu kepada doktor atau petugas kesihatan di fasiliti kesihatan agar mula memberi ubat monoterapi kepada pesakit.
“Jadi mohon doktor dan petugas kesihatan untuk menggunakan ubat demam, ada yang dalam bentuk tablet, ada yang boleh dimasukkan melalui dubur atau suppositori, dan melalui suntikan sebagai ganti” kata jurucakap yang mewakili Kementerian Kesihatan Indonesia, Mohammad Syahril secara atas talian pada Rabu.
Tambahan pula, Syahril mengatakan bahawa setakat ini pihaknya masih menyiasat sebab penyakit misteri yang mengakibatkan kematian sebanyak 99 orang pesakit dari 206 kes yang dilaporkan di 20 wilayah.
Bahan toksik yang terkandung dalam ubat kanak-kanak
Namun begitu, terdapat penemuan sebatian tertentu dalam sejarah ubat yang diambil oleh pesakit penyakit buah pinggang akut progresif atipikal di Indonesia.
Berdasarkan Astro Awani, Kementerian Kesihatan Indonesia kini meneliti ubat sirap yang mengandungi bahan toksik iaitu dietilena glikol dan etilena glikol. Ubat berkenaan biasanya diberikan kepada kanak-kanak untuk merawat demam.
Perkara yang paling penting iaitu, kes AKI yang berlaku di Indonesia pada masa ini, sama sekali tidak memiliki kaitan dengan kesan suntikan vaksin COVID-19.
“Kementerian Kesihatan dan IDAI saat ini membentuk pasukan untuk melakukan siasatan lebih lanjut mengenai kes ini,” ujar Syahril.
Menteri Kesihatan Indonesia. Budi Gunadi Sadikin mengatakan bahawa jumlah sebenar kes itu mungkin lebih tinggi daripada yang dilaporkan.

Sumber: CNN Indonesia & Astro Awani