Buat ‘Perangai’ Hingga Disisih MU, Ronaldo Muat Naik Mesej Penuh Keinsafan, Janji ‘Perbaiki’ Diri
Penyerang sensasi Manchester United (MU), Cristiano Ronaldo baru-baru ini menjadi topik hangat dunia bola sepak apabila tindakannya meninggalkan padang ketika perlawanan menentang Tottenham Spurs masih berlangsung viral di media sosial.
Berikutan tindakan tersebut, jurulatih, Erik Ten Hagg dan disokong oleh kelab mengumumkan bahawa Ronaldo tidak akan dibawa bersama pasukan ketika berkunjung ke Standford Bridge, Sabtu ini.
Terbaharu, melalui satu hantaran di laman Instagram, Ronaldo memuat naik satu hantaran yang dilihat seolah-olah beliau menyedari kesilapan yang telah dilakukannya sebelum ini.
“Seperti apa yang selalu saya pamerkan di sepanjang karier, saya sentiasa berusaha hidup dan bermain dengan penuh penghormatan, tidak kira kepada rakan sepasukan, seteru mahupun barisan kejurulatihan. Ia tidak pernah berubah dan begitu juga dengan diri saya,” katanya.
Beliau seterusnya turut menegaskan bahawa dirinya sentiasa menjadi seorang pemain yang profesional selepas beraksi selama 20 tahun dalam dunia bola sepak elit.
”Jadi, penghormatan sentiasa menjadi perkara yang saya titik beratkan dalam semua keputusan yang saya buat,” ujarnya lagi.
Ronaldo kemudian mengimbau kembali perjalanan bola sepaknya yang bermula sejak usia muda. Katanya, ketika itu beliau menjadikan pemain senior sebagai idolanya. Kini, apa yang mahu dilakukannya pula adalah menjadi idola dan contoh yang baik kepada pemain-pemain muda yang lain pula.
”Justeru, saya sentiasa berusaha menjadi contoh yang baik untuk semua pemain muda dalam setiap kelab yang pernah saya wakili.
”Malangnya, perkara itu tidak berlaku sepanjang masa. Ada kalanya, keadaan situasi yang menekan menyebabkan kita tersasar (dalam membuat keputusan),” tulisnya lagi.
Pemenang Ballon d’Or itu kemudian berikrar untuk memperbaiki diri dan memberikan yang terbaik untuk kelab semasanya.
“Buat masa ini, saya merasakan bahawa saya perlu bekerja keras di Carrington, menyokong rakan sepasukan saya dan sentiasa bersedia untuk segala-galanya dalam mana-mana perlawanan.
“Menyerah kalah bukan satu pilihan untuk saya. Itu tidak akan pernah terjadi. Ini Manchester United. Kita mesti berdiri dan bersatu. Nanti kita akan berdiri bersama lagi,” akhirinya dalam penulisan tersebut.
View this post on Instagram
Sumber: Cristiano Ronaldo/Instagram, Sporting News