Jambi – Gara-gara menuduh orang lain mahu curi duriannya, seorang lelaki berusia 40 tahun dipukul hingga maut dalam kejadian di Merangin, Jambi di Indonesia baru-baru ini, lapor Tribun Jambi.
Menurut laporan, mangsa yang meninggal dunia akibat dipukul disumbat ke dalam guni sebelum dikuburkan dalam lumpur berhampiran pokok tidak jauh dari lokasi kejadian.
Ketua Unit Siasatan Jenayah Merangin, ACP Lumbrain yang mengesahkan kejadian pembunuhan tersebut berkata suspek sudah ditahan.
“Sekarang suspek telah ditangkap untuk mengelakkan kemarahan orang ramai.
“Pada saat ini kami masih menjalankan siasatan dengan lebih lanjut,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Tribun Jambi pada Rabu.

Difahamkan, segalanya bermula pada Selasa apabila mangsa ketika itu sedang menjaga kebun duriannya kira-kira pukul 2 pagi hari kejadian.
Pada awalnya mangsa dikatakan menuduh suspek yang ada di lokasi kejadian mahu mencuri duriannya.
Bagaimanapun suspek tidak berpuas hati dengan tuduhan melulu dilemparkan itu lalu lantas mengambil kayu bulat yang panjang dan memukul mangsa di bahagian kepala.
Akibatnya mangsa yang dipukul sebanyak empat kali akhirnya meninggal dunia di tempat kejadian.
“Anggota polis Lembah Masurai menerima maklumat bahawa ada mayat ditemui lalu bergegas ke tempat kejadian sekitar pukul 4 petang keesokannya.
“Suspek juga berjaya ditahan di pondoknya. Kami akan membawa suspek ke Ibu Pejabat Polis Merangin untuk siasatan lanjut,” tambahnya.
Dalam masa masa, bahan bukti seperti sebatang kayu yang digunakan suspek untuk memukul mangsa ditemui pihak polis, selain guni dan sebilah parang panjang turut dirampas.
Suspek akan disiasat di bawah Perkara 351 Kanun Jenayah (Indonesia) atas kesalahan penganiayaan yang mengakibatkan kematian atau pembunuhan terhadap mangsa.
BACA JUGA: Artis Hong Kong Cedera Terkena Duri Durian Semasa ‘Shooting’ Di Malaysia
Sumber: Tribunnews