Siakap Keli

Kejayaan EX KERISMAS 27/2022 TLDM Dibayangi Kebimbangan Isu Keusangan Aset

Sebuah latihan mega yang dilakukan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau dikenali sebagai EX KERISMAS telah berlangsung selama 21 hari bermula 3 Oktober 2022 sehingga 23 Oktober 2022 di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu dan sekitar Laut China Selatan berakhir secara rasmi.

Difahamkan bahawa ini merupakan latihan dalaman TLDM yang terbesar ini telah dilaksanakan dengan cemerlang dan mencapai matlamat yang disasarkan.

Secara keseluruhan latihan ini telah melibatkan seramai 2,073 tentera laut, bersama 23 buah kapal, sebuah kapal selam, sebuah kapal selam penyelamat, empat buah helikopter TLDM, dua buah pesawat Sistem Kapal Udara Tanpa Pemandu, elemen Pasukan Khas Laut (PASKAL) dan sokongan tujuh buah pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Berdasarkan jumlah penglibatan pegawai dan aset TLDM, EX KERISMAS tahun ini merupakan yang latihan terbesar pernah dilaksanakan oleh TLDM

Kredit: Facebook

Latihan dalaman TLDM terbesar untuk tahun ini

Secara umumnya, EX KERISMAS ini merupakan latihan tahunan terpenting kepada TLDM untuk menguji tahap kesiap siagaan dan keupayaan Armada TLDM dalam menjalankan operasi maritim yang berintensiti tinggi.

Seperti pelaksanaan latihan-latihan sebelum ini, EX KERISMAS 27/2022 telah dibahagikan kepada tiga fasa iaitu fasa pelabuhan, fasa laut dan fasa selesai latihan.

Secara keseluruhan, sebanyak 88.7 peratus siri latihan yang dijadualkan berjaya dilaksanakan. Hanya 11 peratus latihan tidak dapat dilaksanakan disebabkan faktor cuaca dan juga kerana isu kerosakan pada aset.

Malah, beberapa siri latihan peperangan maritim empat dimensi juga tidak dapat dijalankan berikutan halangan keupayaan tempur berikutan majoriti aset-aset ketenteraan mengalami masalah keusangan.

Panglima Tentera Laut menyatakan bahawa latihan yang menggabungkan aset-aset Armada Barat dan Armada Timur serta penglibatan pesawat-pesawat TUDM ini adalah lebih kepada penilaian tahap persediaan dan keupayaan Armada TLDM.

Ini dilihat dari segi aspek peperangan dan navigasi yang merangkumi penilaian elemen 3P iaitu Platform, People and Process.

Kredit: Facebook

Selain itu, Panglima Tentera Laut turut memuji komitmen dan kesungguhan pegawai tentera laut yang cekal menempuhi segala cabaran sepanjang latihan diadakan. Walaupun berhadapan dengan laut yang bergelora, latihan ini tetap dilaksanakan demi mencapai sasarannya.

Justeru, iltizam dan komitmen warga TLDM harus dijadikan sebagai contoh oleh generasi akan datang untuk terus bersikap positif dan bersemangat dalam mengendalikan kapal mereka walaupun berdepan kekangan keusangan.

Keusangan aset-aset TLDM cetus kebimbangan

Walau bagaimanapun, latihan pada kali ini telah membuktikan bahawa ketahanan aset-aset lama telah menurun berbanding prestasinya pada 20 tahun sebelumnya. Statistik yang terkumpul sepanjang latihan ini menunjukkan trend kerosakan secara konsisten dialami oleh kapal-kapal lama.

Hasil penemuan latihan pada kali ini juga dijadikan sebagai kayu ukur bagi aspek perancangan pembangunan masa hadapan angkatan ini.

Kredit: Facebook

Tidak mengenal apa-apa cabaran yang perlu didepani, pihaknya akan kekal komited untuk terus memastikan kedaulatan dan keselamatan Zon Maritim Malaysia (ZMM) sentiasa selamat sepanjang masa.

Tanggungjawab TLDM semakin mencabar apabila ditambah dengan campur tangan kuasa besar di Laut China Selatan serta keadaan keselamatan global dan serantau yang tidak stabil.

Akhir sekali, pihak tersebut menyatakan pihaknya akan mengoptimumkan keupayaan aset-aset sedia ada dengan sedaya upaya. Walaupun dibelenggu masalah kekurangan aset, mereka akan terus berusaha memastikan agar kedaulatan maritim negara terus terpelihara.

BACA: “Jom Balik Ngundi”, MAS Tawar Diskaun Tiket 20 Peratus Semua Penerbangan Domestik Sehingga 19 November

Sumber: TLDM via Facebook

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.