New Zealand telah mengucapkan selamat tinggal terhadap memo-memo dan dokumen-dokumen yang memiliki laras bahasa yang sukar difahami oleh kebanyakan rakyat. Perkara ini berlaku selepas negara tersebut telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) baharu yang membasmi penggunaan jargon dan bahasa kompleks daripada birokrasinya, lapor The Guardian.
Akta Bahasa Ringkas telah mewajibkan pegawai-pegawai kerajaan untuk menggunakan bahasa yang ringkas, mudah difahami ketika berkomunikasi dengan orang awam. RUU tersebut diluluskan selepas dibacakan buat kali ketiga pada malam Rabu.
Pihak kerajaan mengatakan bahawa ini akan menjadikan proses demokrasi semakin insklusif, khususnya bagi rakyat mereka yang menuturkan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua, orang kelainan upaya serta rakyat-rakyat yang memiliki taraf pendidikan yang rendah.
Ahli Parlimen Rachel Boyackl yang membentang RUU tersebut berkata: “Orang awam yang menetap di New Zealand memiliki hak untuk memahami apa yang diperintahkan oleh pihak kerajaan, hak-hak mereka dan apa yang mereka patut dapat daripada pihak kerajaan.”
Walau bagaimanapun, RUU tersebut terbukti bersifat kontroversial apabila pihak pembangkang berjanji untuk memansuhkannya, jika pihak mereka terpilih untuk duduk di bangku kerajaan pada tahun depan.
Ahli Parlimen Kebangsaan Simeon Brown berkata pada hari Rabu bahawa ia adalah “penyelesaian mencari masalah” dan akan mewujudkan lapisan birokrasi baharu dalam bentuk penggunaan bahasa ringkas.
Manakala, para advokasi bahasa ringkas pula mengatakan RUU tersebut akan menjimatkan wang dan masa kerajaan kerana komunikasi yang jelas adalah kunci untuk menghidupkan demokrasi.
Pihak lain juga bersetuju bahawa RUU Bahasa Ringkas dapat meningkatkan kebolehcapaian terhadap orang kelainan upaya, warga emas dan golongan yang memerlukan dokumen mereka untuk diterjemah.
Dalam perdebatan yang agak dinamik dan kadangkala hangat, Ahli-ahli Parlimen telah menggunakan Shakespeare, Chaucer dan Wordsworth, untuk mempertahankan dan menbantah rang undang-undang itu.

“Usah gentar akan bahasa ringkas,” kata Ahli Parlimen Glen Bennett, “Ini adalah mengenai bahasa yang boleh difahami oleh semua orang dan sesiapa sahaja.”
Akhir sekali, Rang Undang-Undang tersebut berjaya diluluskan dengan sokongan Parti Buruh, Hijau dan Maori.
Sumber: The Guardian