Tidak Tahu Cara Guna Belalai, Reaksi Anak Gajah Mencuit Hati
Apabila bercakap mengenai bayi, dalam fikiran kita semestinya berfikir bahawa anak kecil itu tidak mempunyai apa-apa pengetahuan mengenai dunia mahupun kehidupan.
Mereka lahir tanpa mempunyai secebis ilmu atau didikan untuk bertahan dalam dunia yang fana ini namun sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab semestinya perlu mendidik anak-anak dari kecil, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Sama seperti haiwan, anak-anak mereka hanya mampu belajar dengan melihat sifat yang ditunjukkan oleh ibu dan ayahnya kerana tidak boleh berkomunikasi secara lisan antara satu sama lain.
Anak gajah tidak tahu guna belalai
Walaupun mempunyai badan yang besar, anak gajah pada asasnya tidak tahu cara untuk mengawal belalai dan cara menggunakannya sehinggalah usianya mencapai kira-kira setahun.
Memetik Gizmodo, haiwan mamalia itu tahu cara untuk berjalan sejurus selepas dilahirkan dan memahami pergerakan yang dibuat namun untuk bahagian belalai itu masih tidak dapat dikenal pasti fungsinya.
Dalam tempoh enam bulan pertama kehidupan gajah, semua yang bayi perlukan adalah susu daripada ibu mereka dan itu merupakan antara pergerakan mudah tanpa perlu menggunakan belalai.
Selain menggunakan belalai, gajah turut menggunakan mulut untuk mengambil makanan dan minum air malah haiwan itu tidak bergantung hidupnya pada belalai sahaja.
Fungsi belalai adalah untuk mengeluarkan bunyi, minum, bernafas dan tentu saja untuk menghidu namun bagi anak gajah perkara ini dilihat tidak penting baginya kerana masih lagi mencuba membiasakan diri untuk menjadi gajah.
Oleh itu, kita boleh lihat mereka sering bermain-main dengan belalainya atau membiarkan sahaja tergantung di depan mukanya tanpa ingin mempelajari cara menggunakannya.
Dalam pada itu, National Geographic turut menunjukkan sisi comel anak gajah yang sedang bermain dengan belalainya.
Dalam video itu, anak gajah dilihat sedang mengayunkan belalainya dan kemungkinan tindakan itu dibuat ekoran berasa pelik.
Tindakan pelik itu merupakan perkara biasa buat anak gajah yang baru sahaja mengenal dunia dan berumur enam bulan selepas habis tempoh menyusu.
Pelbagai gelagat yang ditunjukkan oleh haiwan semasa mereka sedang belajar untuk menjadi diri sendiri dan kelakuannya tidak kurang sama seperti bayi yang dikategorikan sebagai ciptaan Allah yang paling comel.
Sumber: Gizmodo