Rishi Sunak sah dilantik menjadi Perdana Menteri baharu United Kingdom (UK) sebentar tadi selepas beliau selesai mengadakan pertemuan dengan Raja Charles III di Istana Buckinham hari ini, lapor BBC.
Beliau yang sebelumnya dipilih mengetuai Parti Konservatif mengisi jawatan tertinggi kerajaan UK itu selepas pendahulunya, Liz Truss meletak jawatan selepas hanya 45 hari menjadi Perdana Menteri.
Truss sebelum itu mengambil alih jawatan berkenaan selepas Boris Johnson melepaskan jawatanya susulan lebih 50 orang individu penting dalam kerajaan meletak jawatan, salah satunya berpunca daripada skandal etika yang dikaitkan dengannya.
Dengan pelantikan Rishi ini, ia menyaksikan UK mendapat Perdana Menterinya yang ketiga dalam tempoh hanya tujuh minggu.
Dalam ucapan awalnya selepas dilantik, Rishi menjelaskan bahawa UK kini berdepan dengan krisis ekonomi yang sangat jelas dan beliau diberi mandat untuk menjadi pemimpin Tory yang baharu untuk menyelesaikan beberapa masalah yang ditinggalkan oleh Truss.
Oleh itu katanya, antara langkah awal yang akan diambil selepas menjawat jawatan itu adalah melakukan penyusunan semula kabinet kerajaan bagi memastikan pemulihan dapat dijalankan dengan segera. Pegumuman itu juga menyaksikan beberapa individu penting dalam kerajaan telah melepaskan jawatan masing-masing.
Truss sebelum ini mempertahan beberapa polisi tinggalannya antaranya usaha untuk melaksanakan pemotongan cukai bagi mengukuhkan ekonomi UK yang sedang berdepan dengan krisis ketika ini.

Dalam pada itu, BBC juga melaporkan Rishi sebelum ini menolak untuk mengadakan pilihan raya awal bagi memilih kerajaan yang lebih stabil walaupun mendapat desakan daripada Parti Buruh, Parti Kebangsaan Scotland, Demokratik-Liberal dan juga Parti Hijau.
BACA: Jadi PM UK Hanya 45 Hari, Liz Truss Dilapor Layak Terima Elaun Tahunan RM 610,000 Seumur Hidup
Sumber: BBC