Tak Sabar Nak Tengok Bayi Merangkak? Ibubapa Ambil Tahu Bila Si Comel Sedia
Setiap ibubapa mesti tidak sabar melihat perubahan pada anak mereka dan tanggungjawab yang dipikul bukanlah mudah. Setiap perubahan yang diberikan oleh seorang anak ketika mereka bayi akan memberi kegembiraan kepada setiap ibu bapa walaupun ia memerlukan masa yang sesuai.
Bagi pasangan yang baru mempunyai anak pasti anda akan tertanya-tanya bilakah si kecil akan merangkak dan berapa bulan?
Secara umumnya merangkak adalah salah satu peristiwa penting untuk bayi. Ia adalah langkah perantaraan antara duduk dan berjalan. Seperti perkembangan yang unik untuk setiap bayi, cara belajar merangkak si kecil juga adalah berbeza.
Mari saya kongsikan beberapa perkara yang ibibapa perlu tahu bilakah bayi anda bersedia untuk merangkak. Hello Doktor ada berkongsi beberapa tips untuk mengetahui bilakah si comel bersdia seperti berikut:
Bayi merangkak berapa bulan?
Setiap bayi akan belajar sesuatu yang baharu dan ia adalah perkara yang menakjubkan untuk melihat perkembangan dan tumbesaran bayi. Di artikel hello doktor berkata merangkak akan mengubah segalanya sebaik sahaja si kecil menguasi perkembangan tersebut. Kenapa?
Ini kerana bayi akan mampu untuk bergerak dan anda perlu untuk memantau mereka dengan lebih ketat dan ruang kediaman juga harus dipastikan selamat.
Menurut American Academy of Pediatrics (AAP) bayi biasanya merangkak buat kali pertama ketika berusia antara 8 hingga 12 bulan.
Pun begitu, bayi akan mengikut rentak mereka yang tersendiri. Jadi ini bermakna ada sesetengah bayi mungkin akan merangkak awal dan terdapat juga yang memerlukan lebih masa.
Tetapi jika bayi tidak menunjukkan sebarang kemajuan dalam pergerakan – sama ada berpusing, berguling atau merangkak – menjelang usia 12 bulan, mahupun anak cenderung menyeret sebelah badannya semasa merangkak, lakukan pemeriksaan dengan pakar pediatrik.
Gaya bayi merangkak
Pasti ibubapa tidak mengetahui setiap bayi mempunyai gaya merangkak yang berbeza. Terdapat 5 jenis gaya merangkak bagi setiap bayi yang boleh dilakukan.
1. The Bear Crawl

Bayi merangkak dengan tangan dan kaki yang diluruskan.
2. The Classic Crawl

Merupakan cara merangkak kebanyakan bayi.
3. The Commando Crawl

The commando crawl dikenali sebagai merangkak perut. Teknik ini lebih kepada bayi mengesotkan perutnya berbanding merangkak.
4. The crab crawl

Seterusnya, merupakan antara teknik merangkak paling unik. Bayi akan meletakkan bebanan berat pada sebelah kaki yang dibengkokkan. Sebelah lagi kaki akan menolak/mendorong dirinya bergerak ke hadapan. Tangan pula digunakan untuk mengawal arah dan mengekalkan keseimbangan.
5. The Scoot
the scoot crawl dianggap alternatif kepada merangkak. Dalam posisi duduk, bayi menggunakan tangan untuk membantu mereka bergerak.
Beri Galakkan
Terdapat beberapa cara untuk ibubapa boleh lakukan kepada bayi mereka untuk merangkak.
1. Beri sokongan ketika duduk
Berikan sokongan untuk bayi duduk. Apabila si kecil sudah bersedia, biarkan dia duduk tanpa sokongan, ini kerana ia dapat membantu mengembangkan otot perut dan belakang badan untuk merangkak. Bahkan kebanyakan bayi akan mula merangkak selepas belajar untuk duduk.
2. Tummy Time
Tummy Time dapat merangsang kekuatan otot belakang, leher dan lengannya – bagus untuk belajar merangkak. Tetapi pastikan anda sentiasa memantau si kecil.
3. Belly bait
Salah satu lagi cara untuk menggalakkan bayi merangkak adalah dengan meletakkan mainan si kecil yang menjadi kegemarannya sebagai umpan dan memastikan jarak mainan adalah dekat tetapi tidak dapat dicapai.
Ini akan membuatkan bayi lebih bermotivasi untuk mencuba cara baharu dengan menggerakkan kaki dan lengannya bagi mendapatkan ganjaran tersebut.
Langkah keselamatan
Sebaik sahaja bayi mula merangkak ibubapa perlu memningkatkan keselamatan rumah dan sentiasa memantau si kecil.Ini kerana bayi yang merangkak akan memasukkan segala yang dijumpai ke dalam mulut mereka dan hanya menunggu masa untuk mencapai kain alas meja atau apa sahaja yang dilihatnya.
Antara tips keselamatan yang dikongsi oleh Hello DOktor ialah:
- Pastikan semua perabot besar disandarkan ke dinding kerana bayi biasanya akan cuba memanjat atau berpegang pada barangan seperti rak buku serta almari yang mudah terjatuh dan boleh menyebabkan kecederaan serius mahupun kematian.
- Pasangkan pagar pada bahagian bawah dan atas tangga kerana bayi akan sentiasa cuba memikirkan cara untuk memanjat tangga dan berisiko untuk jatuh.
- Jangan biarkan bayi bermain berhampiran air tanpa pengawasan aktif individu dewasa, walaupun dengan air yang sedikit seperti di dalam baldi ia tetap berisiko menjadi punca lemas.
Secara ringkasnya, merangkak adalah langkah perkembangan bayi yang mula dicapai sekitar usia 8 hingga 12 bulan. tetapi ada bayi yang bermula awal dan memerlukan lebih masa, ia bergantung kepada kesediaan diri mereka.
Sebaik sahaja mereka mencapai kelajuan dengan merangkak, maka si kecil hanya menunggu masa sesuai untuk berdiri dengan kedua-dua kakinya serta menggunakan apa sahaja yang boleh dicapai sebagai bantuan seperti sofa, kerusi, bahkan kaki anda.
Daripada situ, anak akan melalui perkembangan lain untuk langkah pertamanya seperti bertatih, berjalan, berlari, melompat, menari dan banyak lagi.
Semoga perkongsian oleh Hello Doktor ini dapat memberi manfaat kepada ibubapa di luar sana untuk mengetahui perkembangan anak-anak mereka.
BACA: Australia Umum Tarik Balik Pengiktirafan Baitulmuqadis Sebagai Ibu Negara Israel
Sumber: Hello Doktor