Tak Sempat Sambut Perayaan, 15 Orang Dilapor Maut Dalam Kemalangan Bas
INDIA — Sekurang-kurangnya 15 orang maut manakala 40 lagi cedera selepas sebuah bas persiaran yang membawa penumpang merempuh sebuah trak di lebuh raya di daerah Rewa, negeri Madhya Pradesh, tengah India sekitar jam 10.30 hingga 11 malam waktu tempatan pada Jumaat lalu.
Memetik Metro UK, majoriti penumpang dalam bas berkenaan merupakan buruh yang dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut perayaan di negeri di utara Uttar Pradesh.
Difahamkan, bas itu disyaki membawa sekurang-kurangnya 60 penumpang sebelum merempuh sebuah trak yang baru sahaja bertembung dengan kenderaan berat lain di lokasi kejadian.
Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Presiden India, Draupadi Murmu dalam satu hantaran di Twitter menzahirkan rasa sedih dan mengucapkan takziah terhadap kejadian yang berlaku itu.
Tambah Narendra dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa ahli keluarga yang meninggal dunia bakal menerima pampasan sebanyak RM11,480 manakala RM2,870 bagi mereka yang tercedera dalam kemalangan tersebut.
Sementara itu, Ketua Menteri Madhya Pradesh, Shivraj Singh Chouhan turut mengumumkan bahawa negeri tersebut bakal menampung kos rawatan bagi pesakit yang cedera.
Dalam kejadian yang berlaku itu, operasi menyelamat telah dilakukan dan mangsa yang cedera segera dihantar ke hospital untuk menerima rawatan lanjut.
Menerusi sebuah gambar yang diambil menunjukkan pada bahagian hadapan bas berkenaan remuk teruk akibat rempuhan yang berlaku.
Untuk makluman, negara India antara negara yang mempunyai kadar kematian jalan raya tertinggi di dunia dengan ratusan ribu orang terbunuh dan cedera direkodkan setiap tahun.
Kebanyakan kemalangan berlaku disebabkan pemanduan secara melulu dan jalan raya yang tidak diselenggara dengan baik.