Kalau sebut kasut berjenama, sudah tentu antara yang terlintas dalam fikiran kita ialah Air Jordan, Nike, Converse, Dr. Cardin dan banyak lagi. Harganya? Tak usah cakaplah.
Biasanya kasut berjenama direka khas untuk mereka yang mementingkan gaya penampilan dan kualiti, sejajar dengan jenamanya yang sudah gah dikenali di seantero dunia.
Tapi tahukah anda, manusia bukanlah satu-satunya ‘pengguna’ yang layak memperagakan kasut berjenama di sepasang kaki mereka, tetapi kuda juga sebenarnya ‘berhak’ untuk bergaya.
Biasanya kita nampak kuda akan dipasangkan ladam pada tapak kakinya. Tapi kali ini, kuda juga sudah boleh bergaya macam manusia dengan kasut Horse Kicks.
Bagi yang belum tahu, Horse Kicks merupakan sejenis kasut yang dicipta khas untuk kuda. Difahamkan rekaannya seakan sama seperti kasut berjenama popular seperti Air Jordan atau Yeezy Boost.
Menurut artikel Oddity Central, kasut unik ini adalah sentuhan pakar reka kasut terkemuka yang juga alumni The Show Surgeon SRGN Academy, Marcus Floyd.
Difahamkan Floyd sudah mereka beberapa jenis kasut sama ada rekaan lama atau baharu dengan mengekalkan elemen yang biasa digunakan pada jenama Air Jordan, Yeezy atau NewBalance650.
Seiring dengan konsep kasut-kasut popular itu, Floyd kali ini turut masih mengekalkan eleman sama pada rekaan Horse Kicks hingga membuatkan kuda itu nampak lebih bergaya.

Difahamkan, penggunaan kasut khas Horse Kicks ini pada dasarnya adalah untuk memenuhi keperluan ergonomik bentuk kuku kaki kuda.
Bentuknya tidaklah ‘lari’ jauh daripada saiz asal tapak kaki kuda, cuma penampilan haiwan itu jadi lebih ‘bergaya’ apabila logo jenama popular Nike terpampang megah di kasut.
Floyd juga telah mencipta beberapa rekaan pra-pembuatan pada musim luruh tahun ini bersempena dengan pelancaran baharu Horse Kicks.
Mungkin satu berita baik buat pemilik kuda, anda sudah boleh bersedia untuk mendapatkan kasut Horse Kicks ini yang baru sahaja dikomersialkan di pasaran.
Horse Kicks telah berada di pasaran bermula 24 Oktober (kelmarin) dan turut boleh didapati melalui pembelian atas talian di laman web syarikat dengan harga bermula RM5,688.
Jika anda biasa melihat orang berbaris di luar kedai kasut untuk membeli koleksi terbaharu, kini anda juga boleh melihat situasi yang sama apabila orang beratur panjang untuk dapatkan kasut kuda.
Sumber: Oddity Central