Anak pasangan suami isteri yang kemalangan ketika konvoi di Lenggong baru-baru ini menyangka rakannya bergurau tentang tragedi itu.
Sangkaan rakan bergurau tentang ibu ayah yang terlibat dalam kemalangan hingga meninggal dunia bertukar pilu selepas melihat sendiri gambar tragedi tersebut.
Demikianlah detik hiba anak pasangan suami isteri, Azranawi Radzi, 42, dan Rosnah Ahmad, 44, yang terlibat kemalangan ketika konvoi motosikal di Kilometer 32.3, Jalan Kuala Kangsar-Gerik, Lenggong kelmarin.
Anak sulung mangsa, Muhaimin Anas yang berumur 16 tahun berkata, rakannya memaklumkan mengenai nahas itu kepadanya susulan laporan berita di televisyen sekitar pukul 8 malam.
Menurut Sinar Harian, pada awalnya dia beranggapan rakannya mahu bergurau senda disebabkan petang itu ibunya ada menghubunginya untuk bertanya khabar.
“Saya menganggap dia sebagai bergurau kerana diikutkan saya baharu lepas berhubung, ummi (ibu) mesej sekitar jam 5.15 petang bertanya khabar saya dan adik-adik.
“(Namun) apabila rakan hantar gambar dan video kemalangan, saya terkedu kerana saya cam motosikal babah (ayah),” katanya.
Muhaimin berkata demikian semasa ditemui pemberita Sinar Harian di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakar Bata, Tanjung Rambutan semalam.
Empat beradik jadi yatim piatu, tumpang kasih nenek
Kehilangan ibu ayah sekelip mata menjadikan keempat-empat anak mangsa kini yatim piatu, membuatkan mereka hanya mampu bergantung harap serta menumpang kasih nenek.
Ujar Muhaimin, ekoran adik-adiknya masih bersedih dengan kehilangan ibu bapanya, mereka kini memilih untuk tinggal di rumah nenek buat sementara waktu.
Rakan turut terkejut
Dalam pada itu, kemalangan tersebut juga membuatkan salah seorang rakan Azranawi yang turut menyertai konvoi iaitu Gee, 49, terkejut dengan apa yang berlaku.
Kata Gee, pada asalnya dia dan suaminya bersama dua motosikal lain termasuk Azranawi sepatutnya berkonvoi untuk singgah di sebuah restoran terkenal.
Namun situasi mula berubah apabila dia ternampak sesuatu di depan.
“Skuter Nawi (Azranawi) berada paling hadapan. Bila lalu saya terpandang kasut berwarna oren sebelum ternampak isteri mangsa tertiarap di bawah penghadang jalan.
“Suami segera menghampiri Nawi dan sempat mengajar mengucap sebelum dia menghembus nafas terakhir,” katanya, memetik Sinar Harian.
Difahamkan, sebelum itu mereka berkonvoi ke Betong, Thailand pada Ahad dan pulang semula ke Malaysia pada Isnin sekitar pukul 4 petang.
Arwah pemurah, suka bersedekah
Dalam pada itu, Gee berkata arwah merupakan pasangan suami isteri yang sehati sejiwa serta turut gemar belanja rakan-rakan dan suka bersedekah.
“Ketika di Betong, mereka belanja kami makan dan tidak banyak beli barang melainkan coklat untuk keempat-empat anak mereka yang tinggal di rumah,” tambahnya.
Imbas kembali, kemalangan tersebut berlaku sekitar 6 petang berhampiran Taman Eko Rimba Lata Kekabu melibatkan skuter jenis KYMCO yang dinaiki pasangan suami isteri itu dengan sebuah Proton Iswara.
Kemalangan itu mengakibatkan Azranawi disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala isterinya, Rosnah menghembuskan nafas terakhirnya semasa dirawat di Klinik Kesihatan Lenggong.
Pasangan suami isteri itu meninggalkan empat anak yang masih bersekolah iaitu Muhaimin Anas, 16; Muhammad Darwisy Imran, 14; Maher Uzair, 9 dan Mifthahul Nurjannah, 7.
Sumber: Sinar Harian