Siakap Keli
Gambar: David Gannon/AFP

Jerman Dilapor Bakal Benarkan Penggunaan Ganja Untuk Tujuan Rekreasi Menjelang 2024

Jerman Dilapor Bakal Benarkan Penggunaan Ganja Untuk Tujuan Rekreasi Menjelang 2024

Kerajaan Jerman dilaporkan bakal membenarkan pembelian dan pemilikan sejumlah kecil ganja bagi tujuan rekreasi.

Memetik laporan AFP, kabinet persekutuan telah bersetuju dengan rancangan tersebut menerusi satu persidangan hari ini.

Menteri Kesihatan Jerman, Karl Lauterbach pada sidang akhbar berkata kabinet persekutuan bersetuju bagi melaksanakan pengedaran ganja secara terkawal kepada orang dewasa untuk kegunaan rekreasi.

“Pembekalan dan penggunaan ubat itu akan diluluskan dalam rangka kerja berlesen dan dikawal negara,” katanya.

Dalam cadangan tersebut, individu yang berumur 18 tahun ke atas akan dibenarkan untuk menyimpan antara 20 hingga 30 gram ganja kering yang bakal dijual di kedai dan farmasi terpilih, lapor AFP.

Tambahan lagi, penanaman tiga pokok ganja akan turut dibenarkan bagi orang dewasa untuk kegunaan peribadi.

Susulan itu, Jerman akan membenarkan pengeluaran ganja secara domestik menerusi perniagaan berlesen.

Bagaimanapun, iklan ganja sama sekali diharamkan manakala pembungkusan produk ganja perlu neutral.

Selain itu, produk ganja yang dijual kepada golongan di bawah umur 21 tahun berkemungkinan mempunyai kesan maksimum namun tiada had umum bakal dikenakan.

Tambah Lauterbach, dasar kanabis sedia ada gagal untuk memastikan matlamat kesihatan dan perlindungan kepada golongan belia.

“Perkara ini berada dalam laluan yang salah dan kita juga mempunyai pasaran gelap yang berkembang pesat dan berkemungkinan akan menyebabkan berlakunya jenayah,” jelasnya lagi.

Beliau tidak mengulas dengan lebih lanjut mengenai garis masa terperinci berhubung draf cadangan tersebut untuk dijadikan undang-undang namun ia berkemungkinan diluluskan menjelang 2024.

Terdahulu, Malta menjadi negara pertama di eropah yang secara rasmi ‘menghalalkan’ penggunaan ganja dan penanamannya untuk kegunaan peribadi walaupun negara lain masih lagi berada dalam peringkat perbincangan.

Sumber: AFP via Barron’s

Iqbal Yasir

A wise man once said "Siuuuuu"

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.