Kitti’s hog-nosed bat yang juga dikenali sebagai kelawar Bumblebee bukan sahaja kelawar yang memiliki saiz paling kecil, tetapi boleh dikatakan sebagai mamalia terkecil di dunia yang diketahui sehingga kini.
Menurut artikel Oddity Central, terdapat kira-kira 1,200 spesies kelawar yang ada di dunia ini, namun yang bersaiz kecil kebanyakannya hanya boleh ditemui di beberapa gua di Thailand dan Myanmar.
Difahamkan saiz kelawar Bumblebee adalah sangat kecil sehingga ia dikatakan muat untuk ‘bertenggek’ di jari manusia yang bersaiz sederhana dengan selesa.
Menurut Oddity Central, saiznya hanyalah antara 29 hingga 33 milimeter (mm) dan beratnya hanya 2 gram (g) selain lebar sayapnya pula hanya mencecah 170 mm.
Menurut tinjauan 2009, populasi kelawar Bumblebee di Thailand adalah sekitar 45,000 ekor, tetapi tiada data yang direkodkan di Myanmar.
Selain itu, kelawar Bumblebee juga hidup dalam koloni kecil iaitu antara 10 hingga 100 ekor dalam satu populasi di habitat mereka, selain menggunakan teknik ekolokasi untuk memburu serangga (mangsa).
Difahamkan kelawar kecil ini hanya akan meninggalkan tempat tinggalnya selama 30 minit pada waktu siang dan 20 minit pada awal pagi.
Menariknya, Kitti’s Hog-nosed Bat ini adalah satu-satunya spesies hidup dalam keluarga Craseonycteridae.
Menurut kajian penyelidik Thailand, Kitti Thonglongya, kelawar ini mula ditemui pada tahun 1973 dan dinamakan Kitti’s hog-nosed bat secara rasmi ketika itu.
Sejak itu, kelawar ini menjadi antara tarikan pelancong yang popular di kedua-dua negara tersebut.
Jadi tarikan pelancong, habitat asal berisiko diubah suai
Sementara, di Thailand Barat kelawar ini boleh dijumpai di 44 gua batu kapur manakala di Myanmar, kelawar ini hidup di lima buah gua berasingan.
Bagaimanapun malangnya, sebagaimana haiwan-haiwan lain yang dijadikan alat keuntungan manusia, spesies kelawar unik ini juga tidak terlepas daripada risiko dikomersialkan.
Seorang pakar kelawar di Thailand, Pipat Soisook berkata kepada Mongabay beberapa tahun lalu bahawa gua yang telah dijadikan tempat pertunjukkan telah membawa kesan negatif kepada habitat kelawar ini.
Hal ini demikian kerana struktur gua itu sendiri sudah diubah daripada bentuk asal dipercayai semata-mata untuk memudahkan pergerakan pelancong.
“Eko-pelancongan sepatutunya menjadi lebih baik apabila pelancong tidak memusnahkan atau mengubah suai habitat semula jadi.
“Bagaimanapun, dalam kebanyakan kes yang berlaku, apabila mempromosikan gua sebagai tempat tarikan pelancong, biasanya penganjur akan mengubah suai gua untuk menjadikannya lebih selesa kepada pelancong,” tambahnya.
Sumber: Odditycentral