Seorang lelaki yang pernah dilabelkan sebagai manusia paling kotor di dunia gara-gara dipercayai tidak pernah mandi selama 60 tahun telah meninggal dunia baru-baru ini pada usia 94 tahun.
Menurut laporan AFP, kematian lelaki warga Iran bernama Amou Haji yang meninggal dunia di Kampung Dejgah, wilayah selatan Fars itu dilaporkan menerusi agensi berita tempatan, IRNA.
Laporan itu menjelaskan, Amou Haji semasa hayatnya dikatakan sanggup tidak mandi berpuluh tahun kerana mendakwa bimbang dirinya akan diserang penyakit jika berbuat demikian.
“Namun buat pertama kali (setelah enam dekad) pada beberapa bulan lalu, ada penduduk kampung membawanya ke bilik air untuk bersihkan diri,” lapor IRNA, memetik AFP.
Kisah ‘unik’ kehidupan Amou Haji pernah difilemkan dalam sebuah dokumentari bertajuk The Strange Life of Amou Haji yang disiarkan di media tempatan Iran pada 2013 lalu.

Didakwa pernah alami masalah emosi ketika muda
Dalam dokumentari itu, Amou Haji berkata dia memilih untuk menjadi sebegitu adalah kerana mendakwa dirinya mengalami masalah emosi semasa muda yang membuatkan hidupnya berasa terasing.
Selain tidak menjaga kebersihan, dia juga didakwa takut untuk menjamah makanan dan minuman bersih kerana bagi sudut pandangnya, perkara itu akan menyebabkan dirinya tidak sihat.
Sebaliknya hidangan yang menjadi makanan kegemarannya ialah landak busuk, selain memilih untuk minum air daripada tin yang berkarat, menurut laporan Mirror.
Selain itu, dia juga dikatakan banyak menghabiskan sebahagian hidupnya di kampung sahaja iaitu kawasan tempat tinggalnya di selatan Fars.
Atas rasa simpati melihat nasibnya yang tidur dalam lubang bawah tanah, penduduk kampung membina sebuah pondok terbuka sebagai rumahnya yang lebih selesa.
Sementara itu, rekod ‘tidak pernah mandi beberapa tahun’ bukanlah ‘dimiliki’ oleh Amou Haji seorang sahaja kerana individu yang bernasib serupa dengannya juga wujud di India.
Seperti yang dilapor Mirror, seorang lelaki di India bernama Kailash Singh, 67 tahun didakwa tidak pernah mandi selama 39 tahun, menjadikan rekodnya ‘ketinggalan’ 21 tahun di belakang Amou Haji.
Sumber: AFP via CBS News / Mirror