Tanam mikrocip dalam tangan untuk transaksi tanpa tunai (cashless) akhirnya menjadi realiti apabila seorang lelaki di Britain sudah menggunakan kaedah itu.
Lelaki berkenaan, Arnie Szoke, 40, membelanjakan kos hampir RM1,655 untuk menjalani pembedahan pemasangan mikrocip pada tangannya di sebuah pusat perubatan di Jerman.
Menurut laporan The Sun, proses pembedahannya memerlukan prosedur yang rapi di mana pakar bedah perlu ‘membuka’ sebahagian sisi tangannya dengan keluasan sebesar saiz poket.
Difahamkan, tujuannya adalah untuk memasukkan mikrocip kecil yang berketebalan kira-kira setengah milimeter itu, sebelum permukaan tangan dijahit semula dalam masa lima minit.
Perlu ‘renew’ macam kad bank fizikal

Menurut The Sun lagi, mikrocip tersebut yang dibangunkan oleh sebuah syarikat bioteknologi berpusat di London, Walletmor Ltd itu berharga sekitar RM1,040 setiap unit.
Walaupun ditanam dalam tangan, namun difahamkan ia juga mempunyai tempoh tamat jangka hayatnya sama macam kad bank fizikal yang biasa digunakan manusia.
Hal tersebut menyebabkan Arnie perlu menggantikannya dengan mikrocip baharu melalui pembedahan kedua pada tahun 2029 kelak dengan harga RM615.
“Teknologi ini boleh digunakan untuk apa-apa sahaja (tujuan) sama ada pasport, tiket atau lesen memandu,” kata bapa kepada dua orang anak itu, memetik The Sun.
Beli barang di kedai guna cashless

Sementara itu, Arnie tidak mensia-siakan teknologi dalam tubuhnya apabila dia berbelanja di kedai dan membayar secara tanpa tunai menerusi imbasan mikrocip tersebut.
Hal tersebut membuatkan seorang pembantu kesihatan di NHS berkata, juruwang dan pelanggan lain agak terkejut dengan tindakannya yang membayar hanya dengan tangan.
“Orang ramai bertanya macam mana saya boleh membayar dengan tangan? Implan itu kelihatan hebat, tetapi isteri saya tidak pernah mempunyainya,” kata Arnie.
Difahamkan mikrocip tersebut menggunakan kad tanpa sentuh dengan tambahan magnet untuk memindahkan data kepada pengimbas.
“Untuk menggunakan cip ini, kita perlukan sedikit ilmu. Ia seperti kad biasa tapi anda perlu sentuh (imbas) pada tempat yang betul.
“Ini bermakna saya tidak perlu membawa dompet sepanjang masa. Kali terakhir saya guna wang tunai adalah (semasa) sejumlah RM190 hilang bersama kad kerja saya,” katanya.
Sumber: The Sun