Sekolah Cacat Penglihatan Terbakar, 11 Kanak-Kanak Dilapor Maut
UGANDA – Sekurang-kurangnya 11 orang kanak-kanak dilaporkan telah terbunuh dalam kebakaran yang berlaku di sebuah sekolah cacat penglihatan di Mukono, timur bandar Kampala, semalam.
Memetik laporan BBC News, insiden kebakaran itu dipercayai melibatkan 27 orang kanak-kanak di asrama sekolah terbabit pada awal pagi.
Difahamkan, punca kebakaran itu masih lagi disiasat. Bagaimanapun, kejadian seperti itu dikatakan bukan perkara luar biasa.
Sementara itu, ibu bapa kepada semua mangsa meluahkan kesedihan mereka di atas kejadian itu.
Ibu kepada salah seorang mangsa juga berkata bahawa prestasi anaknya di sekolah sangat baik dan menyifatkan anaknya sebagai seorang yang ceria.
“Saya tidak dapat menggambarkan kesedihan yang dialami ketika ini,” katanya.
Dalam pada itu, doktor yang bekerja di sebuah hospital tempatan, Dr Moses Keeya berkata bahawa mangsa kebanyakannya melecur di bahagian lengan, kaki dan dada.
“Salah seorang daripada mereka mengalami kecederaan yang teruk di bahagian kepala manakala empat lagi kanak-kanak telah dihantar ke Hospital Negara Kiruddu berdekatan daerah Kampala.
“Dua mangsa lagi mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar pulang ke rumah,” katanya.
Berikutan kejadian tersebut, Menteri Pendidikan, Joyce Kadu telah mengadakan pertemuan dengan semua ibu bapa mangsa yang terlibat dalam insiden tersebut.
Tambahnya, ujian DNA akan dilakukan ke atas kanak-kanak yang terlibat untuk mengenal pasti identiti mereka.
Siasatan polis pada bulan Mac tahun ini menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 18 kejadian kebakaran di sekolah telah berlaku dalam jangka masa tiga bulan.
Terdahulu, kebakaran yang paling teruk pernah terjadi di negara tersebut adalah di Sekolah Buddo Junior pada tahun 2008 sehingga melibatkan 19 nyawa terkorban.
Sumber: BBC News