Beri Ruang Persediaan PRU-15, Tarikh Peperiksaan Bertulis UPKK Dipinda – JAKIM
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa berlaku pindaan tarikh Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) bagi tahun 2022.
Difahamkan, pindaan itu dibuat berikutan memberi ruang persediaan dan pelaksanaan Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal berlangsung pada 19 November 2022.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hajah Hakimah Mohd Yusoff berkata pihaknya bersetuju untuk meminda tarikh ujian bertulis itu yang sebelum ini dijadualkan pada 14 hingga 17 November 2022 (Isnin-Khamis).
Berdasarkan tarikh pindaan terbaharu, bagi subjek Ulum Syariah (Akidah dan Ibadah) dipinda pada 28 November 2022 (Isnin) manakala bagi mata pelajaran Sirah, Jawi dan Khat pula pada 29 November 2022 (Selasa)
“Selain itu, subjek Adab turut dipinda pada 30 November 2022 (Rabu) dan Lughah Al-Quran pula diganti pada tarikh 1 Disember 2022 (Khamis),” katanya dalam kenyataan itu.
Tambah Hakimah, JAKIM amat prihatin dan mengambil berat dengan keputusan yang telah ditetapkan serta amat menghargai komitmen semua pihak dalam menjayakan pelaksanaan UPKK kali ini.