Bijak Merancang Untuk Tempoh-tempoh Sukar, Ini Lima Tanda Kesihatan Kewangan Yang Baik
Tidak kira sama ada mempunyai pendapatan kecil atau besar, anda digalakkan untuk mengurus kewangan dengan bijak dan berbelanja dengan bijak. Wang yang masuk boleh mengalir dengan deras sekiranya perbelanjaan anda tidak dikawal.
Rutin seperti menyediakan bajet bulanan, menentukan pembelian yang hendak dibuat adalah keperluan atau kehendak serta membuat perbandingan harga sebelum membeli adalah langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengekang duit gaji daripada ‘lesap’ begitu sahaja.
Namun begitu, bukan semua tahu bagaimana mahu menguruskan kewangan dan ramai juga sukar untuk memahami tahap kewangan sendiri, sama ada sihat ataupun nazak. Tetapi yang pastinya, semua orang tahu hendak menghabiskan duit.
Justeru, kali ini kami ingin berkongsi dengan anda lima tanda untuk mengenal kesihatan kewangan anda berada di tahap baik yang diambil daripada tiktok Agensi Kewangan & Pengurusan kredit Malaysia. Jom baca perkongsian tersebut dibawah.
5 Tanda kesihatan kewangan yang baik
1#Berbelanja kurang daripada pendapatan bulanan
Anda perlu memastikan wang yang dibelanjakan tidak melebihi pendapatan yang diterima di samping mengajar diri anda agar dapat berjimat dan menjadi pengguna yang berhemah.
2#Mempunyai rancangan kewangan
Rancangan kewangan sangat penting untuk mengetahui keperluan dan kehendak supaya kita dapat mengelak pembaziran. Pecahkan wang anda ke dalam dua kategori, perbelanjaan untuk perkara yang anda perlukan dan perbelanjaan untuk perkara yang anda mahu.
3#Membayar bil dan kredit tepat pada masanya
Sentiasa membayar segala bil dan kredit tepat pada masanya supaya tiada pertambahan bayaran di masa akan datang dan anda dapat merancang langkah yang seterusnya untuk mengurus kewangan anda.
4#Simpan untuk kecemasan dan persaraan
Jika anda tidak menyimpan wang pada amaun yang sepatutnya, mungkin anda perlu merancang kembali perbelanjaan anda. Cari ruang dan cara yang membolehkan anda meningkatkan jumlah simpanan anda.
5#Buat bajet dan mengikutinya
Bajet adalah anggaran pendapatan dan perbelanjaan untuk suatu jangka masa tertentu serta cara kita membahagikan pendapatan mengikut kategori. Jadikan satu tabiat untuk membuat anggaran bajet pada awal bulan dan mengikutinya.
Secara ringkasnya, ramai orang tidak memahami bahawa menyediakan rancangan perbelanjaan bukanlah bertujuan untuk menyekat perbelanjaan tetapi sebenarnya ia menggalakkan kita untuk membuat keputusan berdasarkan keperluan dan kepentingan hidup terlebih dahulu, berbanding memenuhi keinginan diri semata-mata.
Semoga bermanfaat.
Sumber: akpkofficialmy via Tiktok