Ayam merupakan satu sumber protein yang lazim di Malaysia. Hampir semua rakyat Malaysia akan menjamah ayam sekurang-kurangnya sekali dalam dalam seminggu.
Berikutan itu, bahagian-bahagian pada ayam juga memiliki peminatnya yang tersendiri. Ada yang suka kepak ayam, ada yang suka bahagian peha dan ada yang gemarkan bahagian kaki ayam.
Bahagian ini biasanya jarangnya disentuh oleh kebanyakan orang, disebabkan kekurangan isi dan kekurangan masakan yang menggunakan bahagian ayam ini. Sungguhpun begitu, ia tidak menghalang sesetengah rakyat Malaysia untuk terus menyukai kaki ayam, lebih-lebih lagi jika dibuat sup atau dijadikan kerabu.
Walau bagaimanapun, berbeza dengan bahagian ayam yang lain, kaki ayam mengandungi tulang yang kecil-kecil pada bahagian jarinya. Bahagian ini juga sukar untuk dipotong, jika anda inginkan isi semata-mata. Jika anda tersalah cara, kaki ayam tersebut akan hancur.
Jangan risau kerana seorang pengguna TikTok, Wawaasrul (@wawaasrul) telah berkongsi video mengenai teknik memisahkan bahagian tulang daripada kaki ayam. Sudah semestinya, kaki ayam tersebut tidak hancur.
Sebelum memulakan teknik ini, anda perlu merebus kaki ayam kira-kira 10 minit. Ini akan memudahkan proses pembuangan tulang daripada bahagian tersebut.
Kaki ayam yang direbus juga dapat melembutkan tekstur daging sekali gus, tidak memerlukan anda menggunakan pisau yang tajam untuk teknik ini. Dalam video ini, wanita ini hanya menggunakan sudu besi sahaja.

Selepas merebus kaki ayam dalam jumlah masa yang dinyatakan sebentar tadi, kelar pada bahagian jari kaki ayam. Kemudian, siat bahagian isi secara perlahan-lahan daripada tulangnya.
Setelah semua bahagian tulang dan isi tidak lagi bersama, anda boleh mengeluarkan tulang-tulang tersebut daripada kaki ayam. Akhirnya, anda mendapat kaki ayam yang tidak lagi memiliki tulang di dalamnya.

Walau bagaimanapun, wanita ini memberitahu bahawa sebenarnya kaki ayam lebih sedap dinikmati bersama tulangnya.
Justeru, teknik ini mungkin sesuai digunakan bagi menyediakan juadah kaki ayam untuk warga emas atau kanak-kanak, selain jika mahu disediakan sebagai kerabu.
@wawaasrul sebenarnya sedap makan dengan tulangnya sekali😁
Sumber: @wawaasrul via TikTok