Siakap Keli
Kredit: Skywani Interior

“Siapa Kata Gaji Bawah RM5k Tak Lepas Nak Apply?” Rumah Baru Kat Tengah Bandar Ni Harga RM200k Je

Semua sedar yang rumah merupakan satu keperluan untuk seseorang itu berteduh dan tinggal bersama-sama keluarganya. Walau bagaimanapun, tidak semua orang yang berkemampuan untuk membeli rumah memandangkan harga aset itu agak tinggi. Memangnya boleh saja untuk kita menyewa, tapi bila difikirkan balik, tak kan nak menelusuri hari-hari tua di rumah sewa dengan risiko mungkin boleh dihalau pada bila-bila masa sahaja.

Lain pula sekiranya ada rumah sendiri, walaupun kecil tapi boleh berehat tanpa perlu memikirkan ansuran terutamanya setelah rumah tersebut sudah habis dibayar. Tapi, hendak membeli rumah cabarannya adalah mengenai kewangan terutamanya bagi yang tinggal di bandar. Bila dicongak kembali pendapatan dan syarat kelayakan, ada sahaja yang kecewa kerana tidak dapat meneruskan permohonan.

Residensi Prihatin

Pun begitu, jangan pula tidak tahu yang penduduk di bandar boleh sahaja mendapatkan rumah dengan kos yang mampu milik. Sukar untuk dipercayai, namun itulah yang bakal direalisasikan menerusi Residensi Prihatin yang dikelola oleh Kementerian Wilayah Persekutuan. Projek perumahan ini sebenarnya dikhaskan untuk penduduk di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga Labuan.

Pangsapuri 750kps Bernilai RM200k

Apa yang paling menarik perhatian adalah projek perumahan yang bakal dibangunkan ini akan ditawarkan harga sehingga RM200,000 sahaja. Tawaran ini sudah pasti akan menarik perhatian ramai memandangkan kedudukannya di kawasan bandar dan juga dengan keluasan 750 kps.

Antara syarat utama untuk memohon Residensi Prihatin adalah pendapatan isi rumah adalah di bawah RM5,000 dan juga untuk permohonan bagi rumah pertama sahaja. Oleh yang demikian, ianya akan memberi peluang kepada golongan yang berpendapatan sederhana untuk memiliki rumah sendiri khususnya di Putrajaya buat masa ini.

Syarat-syarat Kelayakan Yang Lain

Antara syarat kelayakan yang lain bagi permohonan Residensi Prihatin adalah seseorang itu mestilah warganegara Malaysia dan berumur 18 tahun ke atas. Keutamaan bagi perumahan ini juga adalah kepada pemohon yang lahir atau menetap atau bekerja di Wilayah Persekutuan sahaja. Selain itu, terdapat sekatan penjualan (moratarium) selama 10 tahun sekiranya anda memiliki rumah ini.

Bagi pasangan yang baru berkahwin pula, Residensi Prihatin adalah rumah pertama yang murah dan yang paling sesuai untuk anda memulakan kehidupan bagi keluarga kecil anda tu.

Bagi yang berkelayakan dan berminat untuk memohon, pemohon hendaklah berdaftar di Portal Residensi Prihatin Keluarga Malaysia sahaja.

Proses Pendaftaran

Seseorang yang memenuhi syarat kelayakan dan berminat untuk memohon, perlulah melalui beberapa proses pendaftaran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan. Proses yang dimaksudkan adalah seperti di bawah:

  1. Daftar di portal
  2. Lengkapkan profil peribadi
  3. Pilih projek yang diminati
  4. Muat turun surat akuan sumpah dan tandatangan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah
  5. Muat naik dokumen
  6. Sahkan profil dan dokumen sokongan

Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai garis panduan permohonan Residensi Prihatin Keluarga Malaysia, anda boleh melayari pautan INI.

Setakat ini, terdapat beberapa projek yang akan dibuka iaitu di Putrajaya. Antaranya ialah

  1. Residensi Prihatin Kenanga
  2.  Residensi Prihatin Melur
  3. Residensi Prihatin Cempaka
  4. Residensi Prihatin Sentral
  5. Residensi Prihatin Cemara
  6. Residensi Prihatin Serunai
  7. Residensi Prihatin Mawar
  8. Residensi Prihatin Tanjung

Berhati-hati Dengan Scammer

Walaupun begitu, orang ramai sangat dinasihati agar berhati-hati supaya tidak terperdaya dengan pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan nama Residensi Prihatin sebagai umpan penipuan. Untuk makluman semua, KWP tidak membenarkan sebarang kutipan wang sebelum menandatangani perjanjian jual beli [Akta 118, Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesanan) 1966].

Perlu diingat juga, segala permohonan hanya menerusi portal yang disediakan oleh KWP dan tidak perlu menggunakan pihak perantara untuk mendapatkan rumah ini.

Untuk maklumat lanjut dan permohonan, anda boleh melayari pautan INI.

syafiq halim

Top Fan Sepanjang Masa