Siakap Keli
pm uk lebih kaya daripada kerabat diraja
Gambar: AFP

PM Baharu UK, Isteri Lebih Kaya Daripada Kerabat Diraja – Laporan

Perdana Menteri baharu United Kingdom (UK), Rishi Sunak dan isterinya, Akshata Murty dilapor memiliki jumlah kekayaan jauh lebih tinggi berbanding kerabat diraja Britain sendiri, lapor AFP.

Sebelum ini Sunak baru sahaja dilantik menjadi perdana menteri bagi menggantikan perdana menteri terdahulu, Liz Truss yang hanya sempat memerintah UK selama 45 hari.

Bagaimanapun status kekayaannya yang terbongkar di media sosial mencetus pelbagai spekulasi ekoran rakyat UK kini sedang bergelut dengan krisis kos sara hidup yang sangat serius.

Menurut AFP, kehidupan mewah tersebut dipercayai turut diwarisi daripada kekayaan ayah Murty sendiri, NR Narayana Murthy, 76, yang pernah menjadi pengasas bersama syarikat teknologi gergasi, Infosys pada 1981.

Kekayaan ayah mertua

Syarikat Infosys yang berpusat di Bengaluru, India dilaporkan memiliki nilai saham sebanyak kira-kira RM356 bilion hingga memacu India ke persada dunia dalam bidang teknologi.

Imbas kembali, profil ayah mertua Sunak, NR Narayana Murthy pernah disiarkan dalam majalah Fortune pada 2012 dahulu sebagai salah seorang antara 12 usahawan dunia terkenal.

Menariknya, hanya beliau dan seorang lagi usahawan sahaja yang merupakan nama luar dari Amerika Syarikat (US), manakala 10 lagi adalah warga US sendiri.

Sejarah kejayaannya dalam Infosys bermula setelah beliau ditawarkan posisi kerjaya dalam syarikat itu oleh pengarah tertingginya pada 1974.

Justeru tindakannya untuk bersama-sama dengan Infosys adalah satu keputusan bijak kerana ia mampu mengubah taraf hidupnya hingga menjadi salah seorang usahawan terkenal dunia.

Gambar : Tristan Fewings | Kredit: CNN

Mak mertua jurutera

Sementara itu, ibu mertu Sunak, Sundha juga merupakan seorang jurutera perempuan yang pertama di sebuah syarikat automotif terkemuka di India, Tata Motors.

Selain pernah digelar sebagai ‘India’s favourite granny’, Sundha juga dikatakan turut aktif dalam melibatkan diri dengan kerja-kerja sosial.

Hal tersebut terbukti dengan jasanya yang pernah membangunkan kira-kira 60,000 buah perpustakaan serta 16,000 kemudahan tandas di India, sekali gus menunjukkan bahawa beliau seorang yang merendah diri.

Dalam bidang pendidikan, Sundha amat menitikberatkan nilai ilmu terhadap dua anaknya iaitu Akshata (isteri Sunak) dan Rohan.

Imbas kembali sewaktu menyekolahkan mereka berdua, dikatakan di rumah mereka langsung tidak wujud televisyen, malah mereka berdua pergi ke sekolah hanya menaiki beca.

Perkenalan awal

Budaya kahwin mengikut kasta masih segar diamalkan di India apabila NR Narayana Murthy tekad menjodohkan anak perempuannya dengan Sunak yang bekerjaya sebagai doktor di Southampton, UK.

Melalui satu surat, NR Narayana Murthy memaklumkan kepada Murty bahawa Sunak memiliki ciri-ciri yang tepat seperti berwajah kacak, pandai serta jujur orangnya.

Universiti Stanford di US menjadi tempat pertemuan mereka buat pertama kali setelah Murty bergraduasi ijazah sarjana muda tahap kelas pertama dari Oxford sebelum kedua-duanya berkahwin pada 2009.

Pada 2009, perkahwinan mereka berlangsung agak sederhana. Tetapi, majlis resepsi yang dijalankan didatangi kira-kira 1,000 orang tetamu termasuk ahli politik, rakan kenalan industri sehinggalah pemain-pemain kriket.

Gambar: The Indian Express

Jumlah saham milik Sunak dan Murty

Menurut Sunday Times Rich List, nilai saham milik Murty dalam Infosys mencecah RM3.3 bilion dan meletakkannya lebih kaya berbanding mendiang Ratu Elizabeth II yang dianggarkan hanya mempunyai RM2.1 bilion.

Difahamkan, Murty juga memperoleh dividen berpuluh-puluh juta dalam beberapa tahun kebelakangan ini, tapi akibat statusnya ‘non-domicile’ di UK menyebabkan sebahagian pendapatannya terlepas daripada cukai.

Disebabkan hal tersebut, rakyat Britain marah dan menyebabkan Sunak dikecam teruk. Oleh itu, Murty membuat keputusan untuk membayar semua cukai UK dengan semua pendapatannya pada April.

Malah Murty turut pernah berkongsi melalui laman Twitter miliknya, “Saya melakukan ini kerana saya nak, bukan sebab peraturan yang memerlukan saya berbuat sedemikian.

“Keputusan saya tidak akan mengubah fakta bahawa India kekal sebagai negara kelahiran saya, kerakyatan ibu bapa dan tempat tinggal saya. Tetapi saya juga suka tinggal di UK,” tambahnya.

Kehidupan mewah luar biasa

Gambar: The Indian Express

Difahamkan pada Ogos, mereka membelanjakan RM2.1 juta hanya untuk membina kolam. Malah, semasa lawatan ke tapak pembinaan yang dipenuhi runtuhan pada Julai, Sunak memakai kasut Prada – bukan but biasa yang sepatutnya.

Harta pasangan itu tidak terbayang banyaknya apabila mereka juga memiliki sekurang-kurangnya empat hartanah, termasuk rumah agam di Kensington, London bernilai RM38 juta dan sebuah flat di Santa Monica, California.

Terdahulu, Akshata mula menceburkan diri dalam dunia kewangan dan pemasaran pada 2010 lalu sebelum mereka fesyennya sendiri dengan jenama Akshata Designs.

Menurut laporan Vogue pada 2011, Murty turut bekerjasama dengan pereka fesyen pakaian di kampung-kampung untuk mereka memperagakan pakaian berkonsepkan India-Barat.

“Saya percaya kita hidup dalam masyarakat materialistik. Orang ramai akan menjadi lebih sedar tentang dunia ini. Berbuat baik juga adalah satu ‘fesyen’,” katanya dalam Vogue.

Sumber:  AFP via The Times of India

Florence Nuar

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.