Villa Aurora pegang rekod sebagai rumah termahal di dunia
Sebuah rumah agam mewah yang terletak di bandar Rome di Itali ini mendapat jolokan sebagai rumah termahal di dunia ekoran harga jualan yang diletakkan padanya terlalu mahal.
Terletak di atas bukit dan dihiasi dengan lukisan mural bertemakan Baroque Itali, rumah agam berkenaan jika dilihat daripada bahagian luar kelihatan seperti rumah-rumah mewah yang biasa ditemui dimana-mana. Namun begitu, rumah ini sebenarnya dibina pada kurun ke-16 dan terletak berhampiran dengan beberapa buah hotel terbaik di Kota Rome itu.
Selain itu, lokasinya juga berada berdekatan dengan Piazza, di Spagna dan kota purba Porta Pinciana. Pada asalnya rumah itu hanya sebagai sebuah rumah perburuan dan vila tersebut hanyalah satu-satunya tinggalan daripada kompleks seluas 30 hektar yang dimiliki oleh keluarga bangsawan Ludovisi di Itali.
Walau bagaimanapun, rumah agam berkenaan berdepan dengan konflik pemilikan dan mahkamah Itali memutuskan rumah berkenaan harus dilelong. Bagaimanapun, harga yang ditetapkan terlalu tinggi hingga tiada sesiapa pun tampil menyatakan minat untuk membelinya. Harga yang ditetapkan juga menjadikan rumah berkenaan sebagai rumah termahal di dunia.

“Anda perlu menjadi seorang jutawan yang sangat kaya raya. Ia memerlukan seseorang yang mempunyai poket yang tebal, yang tidak peduli jika harus membayar 10 ribu pound lagi hanya untuk memperbaiki kebocoran atau sesuatu,” kata Puteri Rita Boncompagni-Ludovisi, penghuni vila itu sekarang.
Puteri Rita Boncompagni-Ludovisi yang berusia 72 tahun ialah isteri ketiga kepada Putera Nicolo Lodovisi Boncompagni. Kini dia dan tiga anak lelaki dari perkahwinan pertama putera raja itu terlibat dalam tuntutan undang-undang berkaitan Villa Aurora tersebut.
Oleh kerana kedua-dua pihak tidak mencapai persefahaman, satu lelongan telah diputuskan. Hasil daripada jualan vila itu akan dibahagikan antara mereka. Namun untuk menjual rumah termahal di dunia bukanlah suatu hal yang mudah.
Pada bulan Januari lalu, dalam lelongan pertamanya vila tersebut dianggarkan bernilai RM 2.2 bilion. Walaupun rumah itu mempunyai sejarah dan hasil seni yang menakjubkan, masih tiada pembeli yang mahu membeli hartanah berkenaan.
“Saya pasti kagum jika ada pembeli yang tampil mahu membelinya. Harga jualanya terlalu tinggi,” kata Alessandro Zuccari, seorang profesor di Universiti Sapienza di Rom yang turut membantu dalam penilaian harga hartanah tersebut.
Pada bulan April lalu, Villa Aurora sekali lagi gagal dijual meskipun diskaun 20% telah diberikan kepada mereka yang mahu membelinya. Kini Puteri Rita Boncompagni telah meminta beberapa agensi hartanah seluruh dunia untuk mencari pembeli rumah berkenaan.
Puteri Rita Boncompagni juga telah meminta kerajaan Itali untuk membeli vila itu dan memeliharanya. Cadangan itu juga telah mendapat hampir 40,000 tandatangan di dalam sebuah petisyen.
Walaupun dijual dengan harga diskaun, Villa Aurora dikatakan berkemungkinan besar akan mengganggu bajet Kementerian Kebudayaan Itali. Hartanah itu sehingga kini masih lagi kekal dalam pasaran dan kekal menjadi ‘rumah paling mahal di dunia’.
Sumber: Odditry Central