Siakap Keli
ayah makan ketam
Gambar hiasan | AFP

Ayah Makan Ketam Hidup-hidup, Balas Dendam Anak Kena Kepit

Gara-gara mahu balas dendam, seorang ayah di China dilapor tekad memakan seekor ketam mentah ‘hidup-hidup’ selepas haiwan itu mengepit anaknya hingga kesakitan.

Bagaimanapun tindakan lelaki itu akhirnya mengundang padah apabila dia mengalami beberapa masalah kesihatan yang serius hingga terpaksa dimasukkan ke hospital.

Menurut South China Morning Post, mangsa berusia 39 tahun yang berasal dari wilayah Pantai Timur China itu dipercayai menelan seekor ketam secara hidup-hidup ke dalam mulutnya.

Hal tersebut menyebabkan dia terpaksa dimasukkan ke hospital kerana mengalami komplikasi sakit belakang kira-kira dua bulan selepas kejadian malang berkenaan.

Malah laporan perubatan daripada hospital juga menunjukkan dia turut mengalami perubahan patologi pada bahagian dada, perut, hati dan sistem penghadaman.

Pengarah Bahagian Sistem Pencernaan di Hospital Sir Run Run Shaw di Hangzhou, Dr Cao Qian berkata, pihaknya cuba mendapatkan maklumat daripada mangsa berkenaan hal itu.

“Kami berulang kali bertanya kepadanya sama ada dia pernah memakan haiwan buruan atau apa-apa yang luar biasa atau yang boleh menyebabkan alahan, tetapi dia menafikan semua itu,” katanya.

Bagaimanapun segalanya terbongkar selepas isteri mangsa menyatakan mangsa telah memakan ‘sesuatu yang istimewa’.

Dalam masa sama mangsa akhirnya mengaku bahawa dia bertindak sedemikian kerana untuk membalas dendam terhadap ketam itu dan tekad memakannya hidup-hidup.

“Saya tanya dia, ‘Kenapa makan ketam hidup?’. Jawabnya, ‘Saya nak balas dendam untuk anak perempuan saya’,” kata Dr Cao.

Gambar hiasan | Kredit: Umpan

Dr Cao berkata anak perempuan mangsa sebelum itu dikepit oleh seekor ketam ketika sedang menyeberangi air hingga membuatkan mangsa berasa marah.

Sementara itu, mangsa sudah menjalani pelbagai ujian darah dan keputusan pemeriksaan mendapati dirinya dijangkiti tiga jenis jangkitan parasit akibat memakan daging yang tidak dimasak.

Bagaimanapun nasib menyebelahinya kerana dia dikhabarkan sudah pulih daripada jangkitan tersebut.

Hal itu turut menyebabkan para doktor memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak memakan ketam hidup secara mentah-mentah.

Hidangan ketam di China

Sementara itu menurut The Independent, tabiat memakan ketam merupakan perkara biasa di China sama ada ia dihidangkan secara mentah atau sebaliknya (dimasak).

Tetapi hidangan ketam yang diperap pula jarang dihidangkan, khususnya di timur China termasuk wilayah Shanghai, Zhejiang dan Jiangsu.

Sementara itu, dalam kejadian lain pada tahun 2020, seorang wanita di Hangzhou dilapor dijangkiti enam jenis parasit selepas dia memakan 30 ekor ketam mentah.

Kesannya, wanita tersebut mengalami masalah air terkumpul di dalam paru-parunya sehingga menyebabkan dia mengalami masalah pernafasan selama enam bulan.

Sumber: The Independent

 

Florence Nuar

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.