Lebih 26 Ribu Haiwan Di Thailand Dilapor Terjejas Akibat Banjir
THAILAND – Lebih 26,000 haiwan yang terjejas akibat banjir di Thailand telah diselamatkan oleh sebuah yayasan yang dikenali sebagai Yayasan Soi Dog.
Memetik laporan The Thaiger, sebanyak 210 tan makanan telah dihantar untuk membantu haiwan-haiwan tersebut.
Bantuan telah dihantar di beberapa wilayah khususnya di wilayah Sing Buri, Ayutthaya, Nonthaburi, Ubon Ratchathani, Sukhothai dan daerah Ang Thong.
Atas bantuan dan tindak balas positif yang diterima, mereka mampu menghantar sebanyak 7,750 beg makanan anjing dan 2,785 beg makanan kucing di enam wilayah tersebut.

Tambahan lagi, penduduk tempatan di beberapa kawasan telah berjaya mengambil makanan haiwan tersebut daripada organisasi pentadbiran daerah kecil tempatan mereka (OrBorTor).
Walau bagaimanapun, agihan tersebut tidak dapat dilakukan di beberapa kawasan. Dengan inisiatif yayasan tersebut, pihak mereka telah menghantar makanan tersebut kepada haiwan yang terkandas menggunakan bot.
Pihak yayasan berkata bahawa banjir pada tahun ini adalah banjir paling teruk yang pernah mereka lihat.
Menurut Pengurus Perhubungan Komuniti Yayasan Soi Dog, Sakdapol Thongjan, dia tidak pernah melihat perkara sebegitu berlaku.
“Keseluruhan rumah ditenggelami air sehingga ke bumbung, haiwan-haiwan kelihatan berenang di dalam air dan berusaha sedaya upaya untuk mencapai tempat yang lebih tinggi.
“Kami terpaksa mendayung bot untuk mencapai beberapa ekor anjing yang terkandas sepenuhnya di atas jambatan. Ianya sangat menyayat hati. Terdapat beratus haiwan yang terkandas,” kata yayasan itu.

Dalam pada itu, bukan haiwan terbiar sahaja yang terjejas namun haiwan peliharaan juga.
Menurut seorang lelaki dari daerah Sukhotai, rumahnya telah dinaiki air dalam beberapa minit apabila empangan berhampiran rumahnya runtuh pada awal pagi.
Susulan kejadian iu, anjing peliharaannya telah hanyut dibawa arus deras.
Nasib berpihak kepada lelaki itu apabila anjing miliknya berjaya berlindung di bawah pokok dan bertemu semula dengan dirinya pada keesokan harinya.
Manakala, seorang wanita di daerah Sing Buri menceritakan bahawa dia telah membawa pulang seekor anak anjing yang kehilangan tempat tinggal setelah rumah tuannya ditenggelami air akibat banjir yang semakin meningkat.

Menurut Sakdapol, sebarang bantuan sama ada daripada individu atau organisasi amatlah dihargai oleh pihaknya.
Terdahulu, yayasan tersebut berjaya memberikan vaksin kepada lebih 700 anjing liar di daerah Phuket.
Beberapa bulan selepas kejadian tersebut, mereka meningkatkan usaha dalam menentang penyakit rabies dan perdagangan daging anjing di Vietnam.
Sumber: The Thaiger