Siakap Keli
Kredit: Philippine Coast Guard (PCG)/AFP/Handout via CNA

Ribut Tropika Nalgae Landa Filipina, 45 Orang Dilapor Terkorban

Ribut Tropika Nalgae Landa Filipina, 45 Orang Dilapor Terkorban

MANILA – Ribut Tropika Nalgae yang melanda Filipina pada Sabtu lalu dilaporkan telah menyebabkan banjir kilat dan tanah runtuh yang mengorbankan sekurang-kurangnya 45 orang setakat ini.

Memetik laporan CNA, ribut itu melanda kepulauan Luzon dengan angin maksimum 95kmj selepas ‘mendarat’ di Pulau Catanduanes sebelum subuh.

Difahamkan, hujan lebat telah membanjiri kebanyakan kawasan luar bandar di Pulau Mindanao pada Khamis lalu diikuti dengan tanah runtuh dan banjir yang meragut nyawa pada Jumaat.

Walau bagaimanapun, pihak kerajaan telah mengemas kini semula jumlah kematian rasmi iaitu daripada 72 kepada 45 mangsa pada sebelah petang.

Menurut pegawai kerajaan yang bertugas, Mindanao telah merekodkan 40 kematian setelah berlaku kesilapan pengiraan sebanyak dua kali. Lima lagi mangsa dilaporkan terkorban di lokasi lain.

Operasi menyelamat di perkampungan Kusiong yang terjejas akibat tanah runtuh juga dijalankan. Difahamkan, kira-kira 80 hingga 100 orang penduduk tertimbus dalam kejadian itu.

Menurut Ketua Pertahanan Awam, Naguib Sinarimbo, mereka telah memberi tumpuan kepada usaha menyelamat dan menemui 11 mayat.

“Hari ini, kami meneruskan lagi operasi menyelamat dalam keadaan perkampungan tersebut yang sudah lebih sehari tertimbus di bawah batu dan lumpur,” katanya.

Kredit: AFP/Handout/Jayson Dagalea via CNA

Lebih merisaukan, ribut tersebut juga telah mengakibatkan banjir berlaku di beberapa kawasan lain di negara itu.

Menurut jabatan perkhidmatan cuaca Filipina, ribut Nalgae telah melepasi pulau kecil Marinduque pada waktu pagi dan memberi amaran bahawa ia juga boleh melanda Manila, sebuah kota metropolitan dengan jumlah penduduk lebih 13 juta orang.

“Banjir dan tanah runtuh akibat hujan lebat dijangka berlaku secara berleluasa, manakala terdapat risiko gelombang ribut tahap minimum hingga sederhana atau ombak besar yang bakal melanda kawasan pantai,” katanya.

Sementara itu, pengarah pertahanan awam, Rafaelito Alejandro menggesa penduduk tempatan supaya duduk di dalam rumah sebelum ribut beralih arah ke Laut China Selatan pada awal Ahad.

“Jika tiada apa-apa urusan yang penting, kita seharusnya mengelak daripada keluar hari ini kerana ia sangat berbahaya dan boleh membawa mudarat,” jelasnya.

Tambahan pula, lebih 7,000 orang telah dipindahkan sebelum ketibaan ribut tersebut, lapor pihak pertahanan awam dalam satu kenyataan.

Para saintis telah memberi amaran bahawa ribut seperti itu boleh membunuh ternakan dan memusnahkan infrastruktur. Ia juga berlaku disebabkan oleh perubahan iklim yang melampau.

Sumber: CNA 

Farah Nabilah

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.