Siakap Keli
Kredit: Thaiger

Lelaki Parah Jari Digigit Penyu

Niat untuk menangkap penyu bertukar menjadi tragedi apabila jari tengah digigit hingga cedera parah dan tidak mahu dilepaskan oleh haiwan itu.

Seorang lelaki di Thailand cuba untuk menangkap seekor penyu liar dari sungai Tha Maka di wilayah Kanchanaburi, barat Thailand dalam kejadian baru-baru ini.

Akan tetapi niatnya itu terbatal apabila penyu tersebut mengigit jari tengahnya dan tidak mahu melepaskan sehingga menyebabkan berlaku kecederaan serius.

Anggota penyelamat yang menerima laporan itu bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa, 60 tahun terbaring di atas tanah sambil menangis menahan sakit.

Bagaimanapun, ketika anggota penyelamat tiba, jari mangsa masih berada dalam gigitan haiwan tersebut yang dikenal pasti sebagai penyu jenis Trionyx cartilagineus.

Kredit: Thaiger

Menurut laporan, anggota penyelamat terpaksa mengambil masa selama 10 minit untuk mencabut rahang penyu berkenaan dari jari mangsa.

Gigitan tersebut akhirnya berjaya dileraikan namun difahamkan, jari mangsa yang digigit itu terkulai dan hampir putus hingga berisiko terpaksa dipotong.

Namun, pihak hospital berjaya mencantumkan semula jarinya yang terkulai itu dengan 10 jahitan.

Imbas kembali kejadian tersebut bermula apabila  mangsa pergi ke sungai untuk menangkap penyu liar dengan harapan haiwan itu boleh dijinakkan.

Mangsa yang ketika itu ingin memberi makan kepada penyu turut menyediakan sebuah tangki air untuk menempatkannya apabila sudah berjaya ditangkap.

Bagaimanapun, penyu tersebut lantas menyerang sebaik sahaja mangsa mengambilnya dengan tangan.

Pada awalnya, mangsa berkata dia mahu melepaskan gigitan penyu itu sendiri tetapi tidak dapat sehingga terpaksa meminta bantuan daripada pihak lain.

Namun penyu itu akhirnya mati semasa jari mangsa sedang dikeluarkan daripada gigitan.

Usai dirawat di hospital dan dibenarkan pulang ke rumah, mangsa tekad memasak penyu itu sebagai hidangan makan malam untuk keluarganya.

Sumber: Thaiger

 

Florence Nuar

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.