Lelaki Pijak Hiasan Deepavali Akan Dipanggil Polis
Lelaki yang dilapor memijak dan berjalan di atas hiasan perayaan (kolam) Deepavali di sebuah hospital swasta di Klang seperti yang tular baru-baru ini akan dipanggil polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Vijaya Rao Smachulu, pihaknya akan memanggil lelaki yang dipercayai kakitangan hospital tersebut untuk siasatan lanjut.
“Pada Sabtu sekitar jam 7.45 malam, pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara telah mendapati satu video tular berdurasi 37 saat di TikTok menunjukkan seorang lelaki sedang berjalan dengan kasut di atas (perhiasan) kolam.
“Sehubungan itu, Ketua Balai Polis Bandar Baru Klang telah membuat satu laporan dan kes akan klasifikasikan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja memudaratkan, atau cuba memudaratkan keadaan harmoni atau perpaduan,” katanya.
Tambahnya, jika disabit kesalahan suspek boleh dihukum penjara selama tempoh tidak kurang dari dua tahun, dan tidak lebih dari lima tahun.
“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan sebarang tingkah laku atau tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian negara,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sementara itu dalam kenyataan lain, hospital swasta berkenaan menyatakan pihaknya menyedari berhubung video membabitkan lelaki yang merupakan kakitangan mereka.
Pihak hospital itu menegaskan, mereka turut tidak akan berkompromi terhadap sebarang tindakan yang tidak profesional atau jelik daripada mana-mana kakitangan dan akan menjalankan siasatan dalam.
Sumber: Facebook / Polis Daerah Klang Utara