“Trend” Kes COVID-19 Dijangka Akan terus Meningkat Beberapa Minggu Akan Datang – Khairy
Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin hari dalam satu siaran langsung memaklumkan bahawa COVID-19 dijangka akan menunjukkan tren peningkatan dalam beberapa minggu akan datang.
“Buat beberapa minggu yang akan datang tren kes COVID-19 dijangka akan terus meningkat. Berhati-hati. Be careful. KKM sangat mengesyorkan pemakaian pelitup muka terutamanya mereka yang berisiko tinggi,” katanya.
Difahamkan, pada minggu lalu (23 hingga 29 Oktober 2022), COVID-19 menunjukkan peningkatan kes baru sebanyak 16.5 peratus iaitu 16,917 kes daripada 14,525 pada minggu sebelumnya.
Tambahnya, jumlah bilangan pesakit yang dimasukkan ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk juga meningkat kepada 14 peratus pada minggu yang sama.
Walaupun berlaku peningkatan jumlah pesakit di hospital awam, namun hanya dua peratus sahaja penggunaan katil di wad ICU dilaporkan berikutan kebanyakan pesakit mengalami gejala sederhana dan tidak serius.
“Kita hari ini sedang berdepan dengan gelombang kecil dan tidak pasti sama ada ia boleh menjadi gelombang besar bergantung kepada tindakan komuniti dalam tempoh beberapa minggu ini,” maklumnya.
Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan orang ramai supaya berhati-hati dan berwaspada lebih-lebih lagi dalam fasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU).
Sumber: Kementerian Kesihatan Malaysia