Pekerja Kilang Dilapor Maut, Dipercayai Terjatuh Dalam Mesin Proses Sawit
TAPAH — Dipercayai terjatuh dalam mesin fuel conveyor, seorang pekerja kilang dilaporkan maut di sebuah kilang sawit di Taman Perindustrian Bidor hari ini.
Memetik laporan Sinar Harian, mangsa yang berusia 49 tahun disahkan mati di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah di kepala dan badan dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa disyaki terjatuh ke dalam mesin itu pada ketinggian 4.5 meter selepas siasatan awal dilakukan.
“Tempat kejadian merupakan kilang memproses kelapa sawit yang telah beroperasi selama 25 tahun dan mangsa bekerja sebagai operator mesin sejak sembilan tahun.
“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Tapah untuk dibedah siasat,” maklumnya menerusi Sinar Harian.
Dalam pada itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak telah dimaklumkan bahawa mangsa tersepit dalam mesin di kilang berkenaan, lapor Sinar Harian lagi.
“Anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bidor bertindak mengangkat mayat mangsa setelah bilah ‘conveyor’ dipotong oleh pihak kilang.
“Operasi mengambil masa hampir dua jam dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya.
Susulan tiada sebarang unsur jenayah, kes itu dikategorikan sebagai mati mengejut.
Sumber: Sinar Harian