Gugur dalam calon Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa sah tidak bertanding bagi Parlimen Ketereh untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), lapor Sinar Harian.
Difahamkan, sebaliknya Ketua Puteri Umno Bahagian Ketereh Marzuani Ardila akan mengisi tempat Annuar dan bertanding di Parlimen Ketereh.
Sebelum ini dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Annuar dilihat berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Ketereh dengan meraih majoriti 4.626, menewaskan calon PAS Wan Ismail Wan Jusoh dan calon PKR, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.
Annuar mendahului dengan undian sebanyak 25,467 diikuti PAS 20,841 dan PKR 6,799.
Sementara itu, antara nama-nama besar calon BN yang lain ialah bekas Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Tengku Mohd Hamzah (Gua Musang) dan Ketua Pemuda UMNO, Asyraf Wajdi Dusuki (Gerik).
Calon lain ialah bekas Menteri Kementerian Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican; Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Bera).
Terbaru, Pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias telah dinamakan sebagai calon BN bagi merebut kerusi Parlimen Larut dalam PRU15.
Pemilihan Mohd Kazim atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim dibuat berdasarkan populariti dan pengaruh besar yang dibawa beliau di Perak.
Pemilihan lelaki yang berusia 50 tahun itu telah dibincangkan dalam pertemuan ‘top 5’ dua hari lalu.
Sumber: Sinar Harian