Siakap Keli

Apa Nak Buat Ketika Saudara Terdekat Meninggal Dunia? Ini Perkara Yang Perlu Disegerakan

Boleh dikatakan setiap hari sudah semestinya ada orang yang akan meninggal dunia. Sebagai umat Islam, sangatlah penting untuk kita semua mempelajari dan juga mengetahui cara pengurusan jenazah.

Selain daripada ianya adalah satu tuntutan fardu kifayah buat muslim di muka bumi ni, memahami cara pengurusan jenazah ini juga dapat memudahkan kita untuk menguruskan ahli keluarga kita yang meninggal dunia. Untuk yang tak tahu, ni cara mudah untuk diketahui.

Perkara Penting Untuk Dibuat Ketika Ada Saudara Terdekat Meninggal Dunia

1) Memejamkan Kedua Belah Mata

Apabila ada orang meninggal, terdapat juga jenazah yang matanya terbuka. Jika hal sebegini berlaku, usap perlahan-lahan dengan jari untuk korang menutupkan mata jenazah. Sekiranya mata masih tidak tertutup, letakkan sebentar duit syiling di atas mata jenazah tersebut. 

2) Tanggalkan Barangan Palsu Atau Barangan Kemas Jenazah

Amatlah penting untuk korang tanggalkan kesemua barangan palsu pada jenazah. Lakukan ini selagi tidak menyakitkan jenazah. Kepentingannya, supaya air mudah mengalir ketika memandikan.

3) Mengikat Dagu Ke Kepala

Supaya mulut jenazah tidak ternganga atau dimasuki serangga.

4) Letak Di Tempat Tinggi

Perkara ini dilakukan untuk menghormati jenazah. Tempatkan jenazah sama ada di atas katil, tilam dan juga apa-apa yang difikirkan sesuai.

5) Lunjurkan Kaki Ke Arah Kiblat

Ini adalah salah satu perkara yang wajib semua orang ingat. Sunat dihadapkan jenazah ke arah kiblat dengan melunjurkan kaki ke arah kiblat dan ditinggikan kepala jenazah supaya muka menghadap kiblat.

6) Tanggalkan Pakaian Dan Tutup Seluruh Badan Dengan Kain

Semasa sedang nazak, kebanyakan orang akan mengeluarkan peluh yang agak banyak sebelum meninggal dunia. Kemungkinan besar, jenazah akan menjadi cepat berbau. Untuk mengelakkan perkara tersebut berlaku, tanggalkan pakaian jenazah tersebut dan kemudian tutup dengan kain yang nipis agar memudahkan urusan pemandian.

7) Letak Kedua-Dua Belah Tangan Di Atas Dada

Letakkan minyak disendi-sendi jenazah bagi memudahkan urusan pemandian jenazah. Selain itu, letakkan tangan jenazah ke dada serta diikatkan supaya tangan tidak jatuh kerana sendinya masih lembut.

8) Letak Benda Sedikit Berat Di Atas Perut

Jangan letak benda yang terlalu berat tetapi yang sedikit sahaja beratnya. Hal ini dilakukan supaya perut jenazah tidak jadi buncit.

9) Pasang Wangi-Wangian Disekitar Jenazah

Wangi-wangian ini digalakkan untuk dipasang disekitar jenazah supaya tidak ada sebarang fitnah yang baka timbul pada jenazah sendiri  terutama sekali apabila keluar sebarang bau yang tak menyenangkan.

10) Segera Membayar Hutang Jenazah

Sekiranya jenazah ada berhutang, ianya adalah wajib untuk diselesaikan dahulu hutangnya sebelum hartanya difaraidkan.

Sebagai kesimpulan, mengetahui cara-cara pengurusan jenazah terutama sekali untuk saudara terdekat yang meninggal dunia amatlah penting. Senarai di atas merupakan langkah yang mudah untuk semua. Bagi anda yang kurang jelas bagaimana untuk melaksanakannya, video daripada Kami Ada ini pasti boleh membantu.

@kamiada_

Kematian tidak mengira usia mahupun masa, tidak dipercepat atau dilambatkan walau sesaat

♬ jangan pernah menyerah cover by andmesh kamelang – loisa

Bagi yang sering menjengah ke ruangan TikTok, sudah pasti sedar akan kewujudan akaun TikTok Kami Ada yang sering berkongsikan ilmu yang boleh dipraktikkan oleh masyarakat. Video-video ringkas yang dimuat naik meliputi pelbagai aspek, antaranya persediaan sebelum bernikah, cara untuk menukar nama, senarai nama-nama bermaksud tidak baik, perkara di larang di kubur dan pelbagai lagi ilmu yang anda boleh timba di sana.

Akaun TikTok Kami Ada ini sebenarnya adalah daripada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk membantu lebih ramai muslim bukan sahaja di negeri-negeri wilayah namun termasuk di seluruh negara. Bukan itu sahaja, di Facebook juga sering dikongsikan pelbagai ilmu untuk dipraktikkan oleh seluruh rakyat Malaysia.

Pasti ada yang sedar, JAWI juga sering menganjurkan pelbagai program untuk membantu golongan yang memerlukan. Perkara ini sedikit sebanyak boleh meringankan beban terutamanya bagi mereka yang tinggal di Wilayah.

Berkaitan dengan pengurusan jenazah pula, di Wilayah-wilayah Persekutuan, JAWI menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma kepada golongan asnaf yang memerlukan. Sepanjang tahun 2022 sahaja, Pasukan Petugas Pengurusan Jenazah JAWI telah menguruskan sejumlah 488 jenazah dalam kategori tersebut iaitu:

  1. Jenazah Asnaf: 31 Jenazah
  2. Jenazah Tanpa Waris: 76 Jenazah
  3. Jenazah Mualaf: 25 Jenazah
  4. Jenazah Covid-19: 356 Jenazah

JAWI bukan sahaja aktif di TikTok dan Facebook untuk menyampaikan sebanyak boleh ilmu, tapi turut aktif di lapangan bagi membantu golongan-golongan yang memerlukan. Pelbagai perkhidmatan yang anda boleh dapatkan di JAWI terutamanya bagi menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi.

Nor Fakhry