Seorang bekas penghidap kanser dan ditemaninya akan melakukan kayuhan amal bersempena CAKNE Gold Ribbon Ride 2022 (CGRR22) – Jelajah Negeri Sembilan pada 6 November sehingga 13 November 2022 untuk mengutip dana bagi penghidap-penghidap kanser di Malaysia.
Kanser merupakan satu penyakit yang sering memberikan rasa takut kepada manusia. Penyakit ini bukan sahaja memberi kesan kepada penghidapnya, malah turut mampu meruntun jiwa orang-orang disekelilingnya.
Namun, ini tidak bermakna kita sudah putus harapan kerana setiap penyakit di dunia pasti ada ubatnya, kecuali mati. Begitulah pengajaran yang dapat diambil daripada kisah adik Nurul Islah, seorang bekas penghidap kanser yang berusia 24 tahun.
Islah atau dikenali sebagai Kak Cik, telah disahkan menghidapi kanser otak tahap empat ketika dirinya baru berusia seawal 9 tahun.
Asalnya, dirinya merupakan kanak-kanak yang aktif dan cergas tetapi mendapat status Orang Kelainan Upaya (OKU) setelah dirinya menghidapi penyakit tersebut.
Walau bagaimanapun, berkat kesabaran dengan ujian dan tidak berputus asa menjalani rawatan yang disarankan oleh pengamal perubatan bertauliah, Kak Cik berjaya bangkit dan diberikan kesembuhan oleh Yang Maha Mencipta apabila dirinya disahkan bebas daripada sel kanser berbahaya tersebut.
🙏 Minta jasa baik warga twitter untuk RT support adik saya(brain cancer survivor) dalam usaha nak kumpul dana untuk kawannya Allysha. InsyaAllah adik saya dan ayah saya akan berbasikal seluruh Negeri Sembilan pada 6hb – 13hb Nov 2022. pic.twitter.com/EN34f8sZXt
— iqbalsambal 🏴 (@iqbalsambal) November 1, 2022
Namun, ada sesuatu yang lebih indah tentang di Kak Cik dan ternyata dia mempunyai jiwa yang besar. Gadis ini sekali lagi akan turun ke medan melawan kanser, kali ini untuk rakan baiknya pula.
Allysha, rakan baik Kak Chik juga merupakan seorang bekas penghidap kanser, namun berdepan dengan situasi yang lebih mencabar apabila terpaksa bergantung dengan mesin bantuan oksigen untuk meneruskan hidup.
Situasi itu juga memaksa Allysha untuk tinggal di rumah dan tidak dapat hadir ke sekolah kerana perlu menggunakan alat pernafasan tersebut sepenuh masa.
Kayuh Basikal Untuk Bantu Rakan-Rakan Penghidap Kanser Yang Lain
Ujian yang dilalui Allysha telah menjadi motivasi Kak Cik untuk melakukan sebuah kayuhan amal pada 6 November sehingga 13 November 2022 ini.
Tujuannya adalah untuk satu, untuk membantu Allysha dan rakan-rakan penghidap kanser di Malaysia untuk menampung kos perubatan sekali gus, memberikan peluang yang lebih cerah kepada mereka.
Justeru, Kak Chik dan ayahnya akan menyertai kayuhan amal Jelajah Negeri Sembilan Global Ribbon Ride 2022 dianjurkan oleh CAKNE. Sebelum ini, jelajah yang sama turut diadakan di beberapa buah negeri yang lain.
Berikut merupakan poster bagi CAKNE Gold Ribbon Ride 2022 (CGRR22) – Jelajah Negeri Sembilan yang menunjukkan beberapa lokasi untuk hari yang berbeza.
Anda juga boleh menyokong usaha murni dengan membeli baju T dan menghulurkan bantuan menerusi kod QR yang terdapat pada poster tersebut. Sasaran kutipan dana bagi kayuhan amal ini berjumlah RM10,000.

Akhir sekali, kami mengucapkan selamat maju jaya kepada Kak Cik dan bapanya untuk melakukan kayuhan amal ini dan mendoakan agar usaha murni ini dipermudahkan.
BACA: Hidap Penyakit Jantung, Adik Azraqi Perlu Bantuan RM90,000 Untuk Jalani Pembedahan Segera
Sumber: @iqbalsambal via Twitter