Siakap Keli
kes covid hari ini
Gambar hiasan | Bernama

‘Kes Covid Hampiri 4,000 Hari Ini, Kita Sedang Alami Gelombang Jangkitan’ – Khairy

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan kes COVID-19 pada hari ini telah kembali menghampiri angka 4,000.

Menurut perkongsian beliau di laman Twitter petang tadi, 96 peratus daripada kes hari ini adalah dalam kategori 1 dan 2.

“Kita sedang mengalami gelombang jangkitan.

“Sama ada gelombang ini kecil atau besar bergantung pada tindakan kita,” katanya di Twitter hari ini.

Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan tiga perkara penting yang seharusnya diamalkan orang awam buat masa ini iaitu menggalakkan pemakaian pelitup muka di kawasan sesak atau tertutup.

Selain itu, beliau turut menyarankan orang awam membuat penilaian kendiri COVID-19 dengan kaedah TRISS (Test, Report, Isolate, Inform dan Seek).

Akhir sekali, bagi pesakit yang berada dalam kategori berisiko tinggi (high risk patient), beliau turut mengesyorkan pengambilan ubat Paxlovid.

Sebelum ini, Khairy dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kes COVID-19 dijangka akan menunjukkan trend peningkatan dalam beberapa minggu akan datang.

“Buat beberapa minggu yang akan datang trend kes COVID-19 dijangka akan terus meningkat. Berhati-hati. Be careful.

“Kementerian Kesihatan (KKM) sangat mengesyorkan pemakaian pelitup muka terutamanya mereka yang berisiko tinggi,” katanya dalam satu siaran langsung baru-baru ini.

Difahamkan, pada minggu lalu (23 hingga 29 Oktober), COVID-19 menunjukkan peningkatan kes baru sebanyak 16.5 peratus iaitu 16,917 kes daripada 14,525 pada minggu sebelumnya.

Tambahnya, jumlah bilangan pesakit yang dimasukkan ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk juga meningkat kepada 14 peratus pada minggu yang sama.

Sumber: Khairy Jamaluddin | Twitter

Florence Nuar

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.